Sabtu, 20 March 2021 | 12:07pm
Perdana Menteri Britain, Boris Johnson menjalani suntikan dos pertama vaksin COVID-19 AstraZeneca/Oxford. - Foto AFP
Perdana Menteri Britain, Boris Johnson menjalani suntikan dos pertama vaksin COVID-19 AstraZeneca/Oxford. - Foto AFP

Eropah teruskan penggunaan AstraZeneca

PARIS: Beberapa negara Eropah meneruskan program vaksinasi menggunakan AstraZeneca semalam, selepas menerima penjelasan daripada regulator Kesatuan Eropah (EU) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Ia termasuk Perancis yang kini kini sedang melakukan persediaan menguatkuasakan perintah berkurung separa baharu ke atas satu pertiga rakyatnya.

Kebimbangan vaksin COVID-19 AstraZeneca menyebabkan pembekuan darah menyaksikan negara dari Venezuela hingga ke Indonesia berhenti menggunakannya sejak beberapa hari lalu, melemahkan dorongan untuk program vaksinasike atas penduduk ekoran virus yang mengorbankan hampir 2.7 juta orang.

Jerman dan Itali, masing-masing berusaha mengekang gelombang ketiga COVID-19, mengumumkan penggunaan suntikan itu semalam, selepas Agensi Ubat-Ubatan Eropah (EMA) menjelaskan ia 'selamat dan berkesan'.

Pakar keselamatan vaksin WHO berkata, 'data sedia ada tidak menunjukkan peningkatan keseluruhan keadaan pembekuan' (darah) dalam kalangan penerima vaksin.

Dalam usaha meyakinkan penduduk bahawa vaksin itu selamat, Perdana Menteri Britain, Boris Johnson dan rakan sejawatnya dari Perancis, Jean Castex menerima suntikan dos pertama AstraZeneca, semalam.

"Saya tidak rasa apa-apa. Itu sangat baik, sangat cepat. Sila pergi dan dapatkan vaksin apabila menerima makluman bagi suntikan masing-masing," kata Johnson.

Canselor Jerman, Angela Merkel dan Perdana Menteri Itali, Mario Draghi juga komited untuk mendapatkan suntikan vaksin AstraZeneca.

"Pastinya saya agak gemuruh, tetapi apa yang boleh anda lakukan? Kita harus lakukannya," kata Valentina, guru berusia 42 tahun di pusat vaksin dekat stesen Termini di Rom.

"Sebaliknya, kegusaran kita adalah mereka tidak membenarkan kami menerimanya," kata seorang lagi guru, Roberto, 58.

Belanda, Sepanyol, Portugal dan Indonesia juga mengakhiri penggantungan, manakala jawatankuasa penasihat Ireland mengesyorkan untuk meneruskan kes.

Regulator kesihatan Perancis mengesyorkan vaksin itu hanya diberikan kepada individu berusia 55 tahun ke atas, memandangkan pembekuan darah dilaporkan hanya membabitkan golongan muda, beberapa jam selepas ia digunakan semula, semalam.

Rakyat Paris memenuhi kereta api untuk meninggalkan ibu negara, selain berpusu ke kedai susulan penguatkuasaan perintah berkurung separa, mulai tengah malam semalam di beberapa wilayah di seluruh Perancis. - AFP

Berita Harian X