Sabtu, 13 March 2021 | 8:00am
WHO melalui jawatankuasa penasihat vaksinnya memberitahu, melalui pemeriksaan data keselamatan, vaksin AstraZeneca tidak menyebabkan pembekuan darah. - Foto EPA
WHO melalui jawatankuasa penasihat vaksinnya memberitahu, melalui pemeriksaan data keselamatan, vaksin AstraZeneca tidak menyebabkan pembekuan darah. - Foto EPA

WHO yakin vaksin AstraZeneca selamat

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam menjelaskan tiada alasan untuk menghentikan penggunaan vaksin COVID-19 AstraZeneca selepas beberapa negara menggantung sementara pelaksanaannya susulan kebimbangan terhadap risiko pembekuan darah.

Kesan kebimbangan itu turut menyebabkan beberapa negara memberi amaran terhadap ancaman berlakunya gelombang baharu COVID-19.

WHO melalui jawatankuasa penasihat vaksinnya memberitahu, melalui pemeriksaan data keselamatan, ia menunjukkan tiada kaitan yang menyebabkan vaksin AstraZeneca dengan pembekuan darah.

Jurucakap WHO, Margaret Harris, ketika mengesahkan perkara itu berkata, AstraZeneca adalah vaksin yang hebat seperti mana vaksin lain yang sedang digunakan kini.

"Ya, kita sepatutnya terus sahaja menggunakan vaksin AstraZeneca," katanya kepada media di Geneva sambil menekankan sebarang kebimbangan terhadap keselamatannya harus disiasat.

Vaksin AstraZeneca berpangkalan di United Kingdom (UK), menegaskan bahawa suntikannya adalah selamat, apatah lagi tiada bukti ia menyebabkan risiko peningkatan pembekuan darah.

Perkembangan yang berlaku terhadap AstraZeneca menambah tekanan kepada Kesatuan Eropah (EU) dalam usaha mengedarkan vaksin COVID-19.

Malah, Denmark, Norway dan Iceland menghentikan sementara penggunaan suntikan AstraZeneca sebagai tindakan berjaga-jaga selepas menerima beberapa laporan terpencil berhubung kes pembekuan darah dalam kalangan penerima vaksin itu.

Itali dan Austria pula melarang penggunaan suntikan daripada bekalan berasingan AstraZeneca, sementara Thailand serta Bulgaria minggu ini mengesahkan menangguhkan penggunaannya.

Di Sepanyol, sekurang-kurangnya lima wilayah semalam menyatakan penangguhan penggunaan AstraZeneca daripada bekalan yang disyaki dan diharamkan oleh Austria sebagai langkah berjaga-jaga.

Bagaimanapun, bagi sesetengah negara lain termasuk Australia, mereka menjelaskan akan tetap meneruskan penggunaan vaksin itu kerana tiada alasan untuk membuat keputusan sebaliknya.

Begitu juga Kanada yang mempunyai pendirian sama dengan menjelaskan tiada bukti suntikan itu mengakibatkan reaksi buruk.

Dalam perkembangan terbaru, pengawal selia ubat-ubatan EU berkata, alahan teruk harus diberi penekanan terhadap kemungkinan kesan sampingan daripada vaksin AstraZeneca selepas ia dikaitkan dengan sebilangan jumlah kes di Britain. - AFP

Berita Harian X