Jumaat, 5 March 2021 | 4:13pm
Ombak besar memukul Pantai Maroubra di Sydney, hari ini, selepas siri gempa bumi kuat melanda luar pesisir negara jiran, New Zealand. - FOTO AFP
Ombak besar memukul Pantai Maroubra di Sydney, hari ini, selepas siri gempa bumi kuat melanda luar pesisir negara jiran, New Zealand. - FOTO AFP

Sebahagian besar amaran tsunami di Pasifik ditarik balik

PORT VILA (VANUATU): Amaran tsunami di beberapa kepulauan Pasifik Selatan ditarik balik, hari ini, sekali gus membolehkan puluhan ribu penduduk pulang ke kediaman masing-masing.

Ia berikutan risiko akibat siri gempa bumi kuat yang menggegarkan kawasan terbabit, dilihat mulai reda.

Tiga gempa bumi berukuran 7.3, 7.4 dan 8.1 magnitud melanda kawasan berdekatan Kepulauan Kermadec di New Zealand, awal pagi tadi.

Ia diikuti puluhan gempa susulan yang kuat dengan amaran tsunami dikeluarkan di seluruh Pasifik.

Beribu-ribu penduduk menyelamatkan diri ke kawasan lebih tinggi apabila gelombang ombak boleh mencecah hingga tiga meter diramalkan membadai New Caledonia dan Vanuatu.

Malah, wilayah dari New Zealand hingga Peru, Russia dan Antartika turut diletakkan pada tahap berjaga-jaga yang tinggi.

Di New Zealand, pihak berkuasa memaklumkan bahawa seluruh Bandar Opotiki di Pulau Utara yang mempunyai kira-kira 4,000 penduduk, sudahpun dikosongkan.

Bagaimanapun setakat ini, ombak terbesar setinggi satu meter dilaporkan di Kepulauan Loyalty, New Caledonia.

Saksi di ibu kota Vanuatu, Port Vila, memaklumkan hanya beberapa gelombang ombak agak besar menghempas kawasan pesisir.

Tiada kerosakan besar dilaporkan, setakat ini, selain sebilangan pengguna jalan raya mengalami dehidrasi sederhana kerana tersekat selama berjam-jam dalam kesesakan lalu lintas yang teruk di Pulau Tahiti.

Begitupun, Pusat Amaran Tsunami Pasifik memaklumkan, ancaman belum berakhir sepenuhnya - gelombang ombak sederhana besar dilihat masih tiba di Amerika Tengah dan Selatan - namun kebanyakan amaran daripada pihak berkuasa tempatan sudah ditarik balik.

Pihak berkuasa di Australia, New Caledonia, New Zealand, Vanuatu dan Polynesia Perancis ialah antara yang menarik balik atau menurunkan tahap amaran awal. - AFP

Berita Harian X