Khamis, 11 Februari 2021 | 6:51am
 Foto ihsan USGS
Foto ihsan USGS

Gempa bumi 7.7 magnitud cetus tsunami di Pasifik Selatan

NOUMEA: Gempa bumi dengan kekuatan 7.7 skala Richter melanda Pasifik Selatan malam tadi dan mencetuskan tsunami kecil yang tidak menyebabkan kerosakan terhadap negara kepulauan.

Gempa bumi berlaku tengah malam pada Khamis waktu tempatan (1320 GMT Rabu) kira-kira 415 kilometer (258 batu) timur Vao di New Caledonia pada kedalaman 10 kilometer, menurut Agensi Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) .

Pusat Amaran Tsunami Pasifik NWS kerajaan Amerika Syarikat (AS) mengatakan "gelombang tsunami berbahaya" diramalkan di beberapa pantai.

Dikatakan gelombang antara 0.3 dan satu meter di atas permukaan air pasang dijangka berlaku di Fiji, New Zealand dan Vanuatu.

Gelombang 0.3 meter melanda Fiji, menurut Twitter jabatan seismologi negara kepulauan itu.

Bagaimanapun Seismologi Fiji kemudiannya membatalkan amaran tsunami itu.

Penduduk di Vanuatu, ibu negara Port Vila berkata, mereka merasai gegaran tetapi tiada kerosakan berlaku sama ada ketika gempa mahupun susulan gempa.

Agensi Pengurusan Kecemasan Kebangsaan New Zealand mengeluarkan amaran "arus kuat dan luar biasa" di pesisir utara, namun tiada risiko tsunami.

Pada 2018, gempa bumi dengan kekuatan 7.5 yang menyebabkan tsunami di pulau Sulawesi Indonesia menyebabkan lebih 4,300 orang maut atau hilang.

Gempa berkekuatan 9.1 melanda pantai Pulau Sumatera Indonesia pada 2004, mencetuskan tsunami yang mengorbankan 220,000 di seluruh wilayah.

Angka kematian termasuk sekitar 170,000 di Indonesia - antara bencana alam paling buruk dalam sejarah. - AFP

Berita Harian X