Sabtu, 23 Januari 2021 | 12:55pm
Kenderaan beratur untuk giliran mengambil vaksin COVID-19 di Stadium Dodger, Los Angeles. - Foto AFP
Kenderaan beratur untuk giliran mengambil vaksin COVID-19 di Stadium Dodger, Los Angeles. - Foto AFP

Jumlah kes tinggi tingkat peluang virus COVID-19 bermutasi

PARIS: Kemunculan beberapa mutasi virus SARS-CoV-2 yang lebih mudah berjangkit, mencetus kebimbangan kerajaan dan saintis yang menyiasat mengapa dan bagaimana virus itu mudah tersebar.

Virus SARS-CoV-2 bermutasi untuk terus hidup dan kebanyakan mutasi tidak memberi kesan ketara, namun sebahagian varian seperti dikesan di Britain, Afrika Selatan dan Brazil, boleh memberi kelebihan tertentu kepada virus itu.

Pakar epidemiologi di University of Bern, Emma Hodcroft, berkata jumlah kes yang tinggi akan memaksimum peluang untuk virus itu bermutasi kerana kadar jangkitan juga bertambah.

"Jika kita boleh mengekalkan jumlah kes pada kadar rendah, kita akan mengehadkan ruang pergerakan virus itu," katanya.

Pakar virologi Imperial College London, Wendy Barclay, berkata mutasi virus berkenaan berlaku disebabkan gabungan beberapa faktor, antaranya jumlah virus dalam komuniti serta persekitaran virus itu berada.

Katanya, kewujudan varian baharu COVID-19 sudah dijangka memandangkan sudah setahun COVID-19 menular dan tahap imuniti global meningkat melalui vaksin dan jangkitan semula jadi.

Pembantu perubatan menyediakan suntikan vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech di rumah orang tua di Froendenberg, barat Jerman. - Foto AFP
Pembantu perubatan menyediakan suntikan vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech di rumah orang tua di Froendenberg, barat Jerman. - Foto AFP

"Di Afrika Selatan dan Brazil, sudah ada kadar tindak balas antibodi yang tinggi daripada individu yang pernah dijangkiti dan sembuh daripada virus itu," katanya.

Bagaimanapun, beberapa pakar lain mempersoal sama ada tahap imuniti mempengaruhi mutasi virus itu, ketika ini.

Pakar virologi Institut Pasteur di Paris, Bjorn Meyer, berpandangan mutasi itu mungkin berlaku pada seorang individu, yang kemudian menjangkitkannya kepada orang lain.

Jelasnya, terdapat kemungkinan wujud seorang pesakit dengan sistem imun yang terjejas, sekali gus gagal melawan virus itu secepat orang lain.

Meyer berkata, walaupun virus COVID-19 menjangkiti individu sekitar 10 hari sebelum berjaya dihapuskan oleh tubuh badan, beberapa kajian menunjukkan ada pesakit tertentu yang kekal membawa virus itu selama beberapa minggu atau lebih daripada itu, sekali gus meningkatkan peluang untuk ia bermutasi.

"Dalam tubuh pesakit sebegini, virus itu berdepan tekanan imun tahap tertentu dan ia terpaksa bermutasi untuk kekal hidup," katanya. - AFP

Berita Harian X