Sabtu, 23 Januari 2021 | 7:37am
Vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech akan dibekalkan pada harga kos untuk negara miskin. - Foto AFP
Vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech akan dibekalkan pada harga kos untuk negara miskin. - Foto AFP

Pfizer bekal vaksin pada harga kos

GENEVA: Pfizer akan membekalkan sehingga 40 juta dos vaksin COVID-19 kepada negara miskin, tanpa mengambil keuntungan menerusi fasiliti Covax.

Pengerusi Pfizer, Albert Bourla, berkata negara sedang membangun perlu memiliki akses kepada vaksin sama seperti negara lain di seluruh dunia.

"Kami akan bekalkan vaksin kepada COVAX untuk negara ini tanpa mengambil keuntungan.

"Kami berbangga mendapat peluang ini untuk membekalkan vaksin kepada negara yang menyokong usaha Covax memvaksin petugas kesihatan yang berisiko tinggi terdedah pada virus di negara membangun, serta kumpulan berisiko lain," katanya ketika sidang media maya, pada Jumaat.

Covax yang menjadi inisiatif mendapat dan mengagihkan vaksin coronavirus global, menyasarkan untuk memastikan negara berpendapatan rendah turut menerima vaksin dan berharap dapat memulakan agihan pertama bulan depan.

Inisiatif itu diketuai secara bersama oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Perikatan Global untuk Vaksin dan Imunisasi (GAVI).

Ia diwujudkan tahun lalu dan awalnya menyasarkan untuk mendapatkan vaksin COVID-19 mencukupi untuk 20 peratus kumpulan berisiko bagi negara yang menyertainya.

Buat masa ini, vaksin Pfizer-BioNTech satu-satunya yang mendapat kelulusan penggunaan kecemasan daripada WHO.

Ketua Eksekutif GAVI, Seth Berkley, berkata hampir 150 juta dos vaksin AstraZeneca-Oxford sudah sedia untuk diagihkan menerusi Covax, namun sedang menunggu kelulusan penggunaan kecemasan daripada WHO, yang dijangka pertengahan bulan depan.

Beliau menjangka Covax dapat mula menghantar semua dos vaksin itu pada suku pertama tahun ini. - AFP

Berita Harian X