Jumaat, 18 September 2020 | 7:18pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Wanita hamil dijangkiti COVID-19 lebih berisiko berdepan komplikasi serius

NEW YORK: NEW YORK: Wanita mengandung yang dijangkiti COVID-19 dan dimasukkan ke hospital kerana berisiko berdepan komplikasi serius selain boleh berdepan risiko tinggi melahirkan bayi pramatang, menurut kajian baharu dari Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC).

Terdapat juga kemungkinan risiko besar lain menanti iaitu anak dalam kandungan mati sebelum bersalin.

Penemuan yang membimbangkan itu selaras dengan beberapa laporan sebelumnya bahawa wanita hamil mungkin berdepan risiko tinggi mendapat penyakit teruk apabila mereka dijangkiti COVID-19.

Bagaimanapun, beberapa pakar memberi amaran bahawa penemuan itu dijalankan terhadap sebilangan kecil pesakit, termasuk ramai yang dimasukkan ke hospital kerana COVID-19, sekali gus memungkinkan ia tidak mewakili semua wanita hamil yang dijangkiti.

Kajian mendapati bahawa ramai wanita hamil di hospital yang dijangkiti wabak itu tidak mengalami sebarang gejala, namun ada antara mereka yang bergejala.

Bagaimanapun, antara 16 hingga 30 peratus memerlukan rawatan intensif dan enam hingga 8.5 peratus pula memerlukan bantuan ventilator untuk pernafasan.

Dari 703 kes yang dijelaskan dalam dua laporan itu, tiga wanita maut.

Mengikut kedua-dua kajian, wanita hamil yang dijangkiti COVID-19 mengalami kadar kelahiran pramatang yang lebih tinggi seperti dijangkakan dan ada bayi mati dalam perut sebelum kelahiran.

Kajian terdahulu juga menunjukkan risiko kelahiran pramatang yang lebih tinggi dan kajian di Britain menunjukkan berlaku peningkatan kelahiran yang mati ketika wabak.

Kehamilan boleh mendedahkan wanita terhadap jangkitan dan penyakit yang teruk berdasarkan beberapa sebab.

Sistem kekebalan tubuh ditekan ketika kehamilan, tindak balas yang dirancang untuk mencegah reaksi buruk terhadap janin tetapi meningkatkan pendedahan ibu terhadap jangkitan virus.

Perubahan fisiologi lain ketika kehamilan juga dapat meningkatkan bahaya kepada wanita. Paru-paru mungkin terkesan akibat terkena rahim yang mengembang dan sistem kardiovaskular terpaksa 'bekerja keras'.

COVID-19 juga dapat meningkatkan risiko pembekuan darah dan memberi kesan ke atas plasenta yang memberi janin makan.

"Kami sekarang mempunyai data dari tiga sistem pengawasan CDC yang berasingan, menunjukkan bahawa wanita hami mungkin berisiko tinggi mendapat penyakit terus akibat COVID-19," kata salah seorang anggota pasukan petugas COVID-19 dari American College of Obstetricians dan Gynecologists, Dr Denise Jamieson dalam satu e-mel.

"Maksudnya, wanita hamil boleh jatuh sakit dengan serius," kata Pengarah Bahagian Perubatan Janin, Dr Peter Bernstein dari Pusat Perubatan Montefiore di Bronx.

"Kami tidak pasti apakah sakit mereka boleh jadi lebih teruk daripada yang mereka alami jika tidak hamil, tetapi pasti ada wnaita di luar sana yang sakit teruk bahkan mati," katanya.

Walaupun pakar menegaskan perlu lebih banyak penyelidikan untuk menjelaskan lebih lanjut perkara ini, mereka turut menggesa wanita hamil supaya berhati-hati dengan sentiasa memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan sosial untuk meminimumkan risiko jangkitan terutama ketika mengalami masalah kesihatan atau obesiti. - AGENSI

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X