Khamis, 15 March 2018 | 9:34am
NIKKI Haley ketika mesyuarat tergempar. - Foto AFP
NIKKI Haley ketika mesyuarat tergempar. - Foto AFP

AS tuduh, Russia nafi isu serangan ejen saraf

NEW YORK: Amerika Syarikat, semalam berkata Russia 'bertanggungjawab' di atas serangan ejen saraf ke atas bekas pengintip negara itu di England, dan menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meletakkan tanggungjawab itu ke atas Moscow.

"AS percaya Russia bertanggungjawab di atas serangan terhadap dua orang di United Kingdom, menggunakan ejen saraf bertaraf tentera," kata Duta AS ke PBB, Nikki Haley, kepada mesyuarat tergempar majlis.

Serangan 4 Mac lalu di bandar raya Salisbury menyebabkan bekas pengintip, Sergei Skripal dan anak perempuannya berada dalam keadaan kritikal.

Presiden Donald Trump menekan Russia memberikan jawapan tetapi tidak menyatakan Moscow berperanan dalam cubaan membunuh.

Duta Russia berulang kali menafikan pembabitan Moscow pada mesyuarat majlis dan menyatakan serangan adalah provokasi bertujuan menjejaskan imej Russia menjelang kejohanan Piala Dunia dan pilihan raya.

"Russia tiada kena mengena dalam hal ini. Kami tidak takut, tiada apa untuk disembunyikan," kata Vassily Nebenzia.

Berita Harian X