Selasa, 18 Jun 2024 | 12:20pm
Gambar hiasan. - Foto REUTERS
Gambar hiasan. - Foto REUTERS

11 PATI maut, 64 hilang selepas kapal karam di Mediterranean

ROM: Sekurang-kurangnya 11 pendatang asing tanpa izin (PATI) maut, manakala 64 lagi dilaporkan hilang selepas dua kapal karam di luar pantai selatan Itali semalam.

Perkembangan itu dimaklumkan sebuah badan amal Jerman, pengawal pantai Itali dan beberapa agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Pertubuhan bantuan Jerman, RESQSHIP, yang mengendalikan kapal penyelamat, Nadir, berkata pihaknya menyelamatkan 51 mangsa, termasuk dua individu tidak sedarkan diri, dari bot kayu yang sedang tenggelam, selain menemui 10 mayat di geladak bawah kapal terbabit.

Katanya, mangsa yang terselamat diserahkan kepada pengawal pantai Itali dan dibawa ke darat pagi semalam manakala Nadir kini dalam perjalanan ke Pulau Lampedusa untuk mengeluarkan mayat yang berada dalam bot itu.

Sementara itu, badan pelarian PBB, UNHCR; Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM) dan agensi kanak-kanak PBB, UNICEF dalam kenyataan bersama berkata, PATI yang ditahan badan amal Jerman itu berasal dari Syria, Mesir, Pakistan serta Bangladesh.

Menurut kenyataan itu, tragedi kedua kapal karam yang membawa migran berasal dari Iran, Syria dan Iraq itu berlaku kira-kira 200 kilometer (km) ke timur wilayah Calabria, Itali apabila bot yang belayar dari Turkiye lapan hari lalu terbakar dan terbalik.

Katanya, 64 mangsa hilang, manakala 11 lagi sudah diselamatkan dan dibawa ke bandar Calabria, Roccella Ionica, bersama mayat seorang wanita oleh pengawal pantai Itali.

Mereka antara lain mengulangi saranan supaya Kesatuan Eropah (EU) meningkatkan usaha mencari dan menyelamat (SAR) di Laut Mediterranean, selain memperluaskan saluran migrasi sah dan selamat, supaya PATI 'tidak perlu menggadai nyawa di laut'.

Berdasarkan IOM, lebih 23,500 PATI termasuk 749 pada tahun ini, maut atau hilang di Laut Mediterranean Tengah sejak 2014, menjadikannya sebagai antara laluan migrasi paling berbahaya di dunia.

Terdahulu, pengawal pantai berkata, pihaknya dengan bantuan agensi sempadan EU, Frontex, sedang mencari sejumlah PATI yang hilang.

Katanya, kapal migran itu ditemui separuh tenggelam dan pertama kali dikesan oleh kapal Perancis di perairan antarabangsa, di mana lokasi SAR bertindih antara kawasan pasukan pencarian Itali dan Greece.

Sebelum ini, 11 mayat ditemui di perairan sekitar pantai Libya, awal bulan ini. - REUTERS

Berita Harian X