Khamis, 13 Jun 2024 | 8:58am
Kilang Ford di Almussafes berhampiran Valencia. - Foto AFP
Kilang Ford di Almussafes berhampiran Valencia. - Foto AFP

Ford hentikan ribuan pekerja di Sepanyol

MADRID: Pengeluar kereta Ford dari Amerika Syarikat (AS) dalam perancangan memberhentikan 1,600 lagi pekerja di kilangnya berhampiran Valencia di timur Sepanyol.

Ford tahun lalu memberhentikan 1,100 pekerjanya dalam penyusunan semula operasi di Eropah.

Jurucakap Ford Sepanyol, berkata pihak pengurusan sudah bertemu kesatuan pekerja bagi memaklumkan mengenai langkah pemberhentian membabitkan kira-kira 1,600 pekerja.

"Daripada jumlah itu, 626 pekerja terpaksa diberhentikan secara kekal manakala 966 lagi adalah pemberhentian sementara.

"Mereka yang diberhentikan secara sementara mungkin akan diambil semula apabila pengeluaran kenderaan baharu bermula," katanya.

Sementara itu, menurut kesatuan sekerja UGT, langkah pemberhentian itu akan menjejaskan sejumlah 1,622 kakitangan di kilang Almussafes yang terletak kira-kira 20 kilometer di selatan Valencia.

Pada Mac tahun lalu, Ford mengumumkan rancangan untuk mengurangkan kira-kira 1,100 pekerjaan di kilang yang sama.

Langkah itu dibuat bagi menyusun semula operasinya di Eropah, sekali gus menimbulkan kemarahan kerajaan sayap kiri Sepanyol.

Ford dilaporkan berkata, tindakan itu dibuat selepas syarikat terbabit membuat keputusan untuk menghentikan pengeluaran model S-Max dan Galaxy di kilang berkenaan.

Sebulan sebelum itu, Ford turut mengurangkan 2,300 jawatan di Jerman dan 1,300 di Britain, mewakili sekitar 10 peratus kakitangannya di Eropah.

Menurut Ford, syarikat itu mahu melaksanakan struktur kos yang lebih kompetitif supaya ia dapat mengurangkan model yang dibangunkan untuk pasaran Eropah dengan menumpukan pada segmen van dan mempercepatkan peralihan kepada kenderaan elektrik (EV).

Ford memutuskan untuk beralih kepada EV yang memerlukan pelaburan besar-besaran dalam membangunkan teknologi baharu dengan menstruktur semula kilangnya.

Tindakan pemberhentian itu berlaku ketika kebimbangan Eropah semakin meningkat terhadap langkah AS yang memberikan subsidi dalam jumlah besar untuk kenderaan elektrik yang dikeluarkan di negara itu.

Ia sekali gus berupaya mendorong syarikat pengeluar kereta asing beralih ke tapak pengeluaran di AS.

Berita Harian X