Khamis, 6 Jun 2024 | 8:37am
Salah seorang kanak-kanak berusia empat tahun yang mengalami kekurangan zat makanan dari pinggir bandar timur Shujaiya, Gaza, dibawa ke luar khemah di Zawayda di tengah Semenanjung Gaza. - Foto AFP
Salah seorang kanak-kanak berusia empat tahun yang mengalami kekurangan zat makanan dari pinggir bandar timur Shujaiya, Gaza, dibawa ke luar khemah di Zawayda di tengah Semenanjung Gaza. - Foto AFP

90 peratus kanak-kanak Gaza kurang makanan, tumbesaran terbantut - UNICEF

GENEVA: Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) berkata 90 peratus kanak-kanak di Gaza tidak mendapat makanan berzat secukupnya untuk memastikan pertumbuhan dan perkembangan sihat mereka.

"Di Semenanjung Gaza, berbulan-bulan permusuhan dan sekatan terhadap bantuan kemanusiaan meruntuhkan sistem makanan serta kesihatan, membawa malapetaka kepada kanak-kanak dan keluarga mereka," kata UNICEF.

Menurutnya, lima set data yang dikumpul antara Disember 2023 dan April 2024 mendapati sembilan daripada 10 kanak-kanak di Semenanjung Gaza makan hanya sekali sehari atau berlapar.

Wilayah yang dihentam serangan Israel sejak 7 Oktober lalu itu kini terjerumus dalam kancah kemiskinan, dengan semua penghantaran bantuan kemanusiaan disekat regim Zionis yang mengepung kawasan itu.

"Ini adalah bukti kesan mengerikan konflik dan sekatan terhadap keupayaan keluarga untuk memenuhi keperluan makanan kanak-kanak dan betapa cepat ia meningkatkan risiko kanak-kanak kekurangan zat makanan hingga mengancam nyawa," kata UNICEF.

Israel berkata, ia tidak mengehadkan bekalan kemanusiaan untuk orang awam di Gaza dan menyalahkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atas penghantaran lambat, dengan menuduh operasinya tidak cekap.

Akibatnya, kebuluran sudah muncul di Gaza, dengan beberapa kanak-kanak mati akibat kekurangan zat makanan dan dehidrasi, malah sekutu tegar Israel telah meningkatkan tekanan ke atasnya untuk berbuat lebih banyak untuk membenarkan makanan masuk.

Untuk memenuhi kepelbagaian diet minimum bagi perkembangan sihat, kanak-kanak mesti mengambil makanan daripada sekurang-kurangnya lima antara lapan kumpulan makanan yang ditentukan oleh skor kepelbagaian diet yang digunakan oleh UNICEF dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

UNICEF berkata di seluruh dunia, 27 peratus kanak-kanak hidup dalam kemiskinan makanan yang teruk pada peringkat awal, berjumlah 181 juta kanak-kanak di bawah umur lima tahun. - REUTERS

Berita Harian X