Rabu, 29 Mei 2024 | 10:38am
 Foto hiasan/Middle East Monitor
Foto hiasan/Middle East Monitor

Hukuman mati tahun lalu tertinggi dalam sedekad - Amnesty

LONDON: Hukuman mati tahun lalu di seluruh dunia meningkat kepada jumlah tertinggi dalam tempoh hampir sedekad dengan peningkatan mendadak di Asia Barat, menurut Amnesty International hari ini.

Sebanyak 1,153 hukuman mati dikenakan tahun lalu, jumlah terbanyak direkodkan pemantau hak asasi global itu sejak 2015 atau peningkatan lebih 30 peratus berbanding 2022.

Biarpun begitu, bilangan negara yang melaksanakan hukuman mati adalah yang paling rendah dalam rekod, menurut pertubuhan berpangkalan di United Kingdom itu.

Angka itu tidak termasuk ribuan individu yang didakwa di China serta hukuman mati di Korea Utara dan Vietnam, yang mana data tidak banyak diperoleh.

"Bilangan negara paling rendah dalam rekod yang menjalani hukuman mati kini diketahui tertinggi sejak hampir satu dekad," kata Amnesty dalam laporan tahunannya mengenai perkara itu.

Ia mengaitkan dengan lonjakan membimbangkan dalam hukuman mati di Iran, yang mana jumlahnya meningkat hampir 50 peratus setiap tahun.

Ketua Amnesty Global, Agnes Callamard, berkata pihak berkuasa Iran mengenakan jumlah hukuman mati tertinggi bagi kesalahan berkaitan dadah, dengan hukuman itu memberi kesan tidak seimbang kepada masyarakat terpinggir.

Sementara China, Arab Saudi, Somalia dan Amerika Syarikat (AS) membentuk empat negara lain dengan jumlah hukuman mati tertinggi tahun lalu.

Laporan itu juga menyatakan peningkatan 20 peratus dalam jumlah hukuman mati yang dijatuhkan di seluruh dunia.

Bagaimanapun, angka itu menunjukkan hanya 16 negara yang mengenakan hukuman mati.

Pakistan memansuhkan hukuman mati bagi jenayah berkaitan dadah dan Malaysia memansuhkan hukuman mati mandatori untuk pelbagai kesalahan.

Di AS, hukuman mati meningkat untuk tahun kedua berturut-turut, daripada 18 kepada 24. Lima negeri di sana melaksanakan hukuman mati, semuanya menggunakan suntikan maut.

Laporan itu menunjukkan pengenalan Rang Undang-Undang (RUU) yang dilaksana skuad penembak di dua negeri AS dan undang-undang baharu di Carolina Selatan untuk menyembunyikan identiti mereka yang terbabit dalam melaksanakan hukuman mati.

"Sebilangan negeri terpilih AS juga menunjukkan komitmen yang mengerikan terhadap hukuman mati," kata Callamard.

Katanya, 23 negeri di AS pula sudah memansuhkan sepenuhnya hukuman mati dan 14 lagi tidak melaksanakan hukuman itu selama sekurang-kurangnya satu dekad.

"Diskriminasi yang wujud dan melaksana sewenang-wenangnya hukuman mati hanya menambahkan lagi pelanggaran hak asasi manusia dalam sistem keadilan jenayah manusia.

"Minoriti kecil negara yang berkeras untuk menggunakannya mesti bergerak mengikut peredaran zaman dan menghapuskan hukuman itu untuk selama-lamanya," katanya.

Berita Harian X