Selasa, 21 Mei 2024 | 7:39am
Peguam hak asasi manusia yang juga peguam penasihat Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), Amal Clooney. - Foto AFP
Peguam hak asasi manusia yang juga peguam penasihat Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), Amal Clooney. - Foto AFP

Peguam nasihat ICC dapatkan waran tangkap bagi Netanyahu, pemimpin Hamas

LONDON: Peguam hak asasi manusia Britain, Amal Clooney, mengesyorkan pendakwa raya Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) memohon waran tangkap bagi Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan tiga pemimpin Hamas.

Perkara itu dikongsi Ketua Pendakwa Raya ICC, Karim Khan, dalam ucapan penghargaannya kepada Clooney, yang juga penasihat khas badan kehakiman itu.

Karim menyifatkan Clooney sebagai sebahagian daripada 'panel pakar dalam undang-undang antarabangsa' yang menyemak segala bukti.

Difahamkan, satu notis permohonan telah diserahkan Karim kepada panel tiga hakim yang terbabit dalam pra-perbicaraan jenayah pembunuhan beramai-ramai di Gaza.

Sementara itu, dalam mesej di laman sesawang yayasannya, Clooney berkata Karim meminta bantuannya bagi 'menilai bukti jenayah perang yang disyaki dan jenayah terhadap kemanusiaan di Israel dan Gaza'.

Justeru, beliau bersetuju dan menyertai panel pakar undang-undang antarabangsa untuk melaksanakan tugas itu, di mana mereka terbabit dalam proses bagi semakan bukti dan analisis undang-undang, termasuk di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda.

"Walaupun latar belakang peribadi kami yang pelbagai, penemuan undang-undang membuatkan kami sebulat suara memutuskan bahawa ICC mempunyai bidang kuasa ke atas jenayah yang dilakukan di Palestin dan oleh warga Palestin.

"Terdapat alasan munasabah untuk mempercayai bahawa pemimpin Hamas iaitu Yahya Sinwar, Mohammed Deif dan Ismail Haniyeh, melakukan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan, termasuk menculik, membunuh dan jenayah keganasan seksual.

"Kami juga percaya Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant, melakukan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan, termasuk guna kebuluran sebagai kaedah peperangan, pembunuhan, penganiayaan dan pemusnahan," katanya.

Amal Clooney, yang juga isteri kepada pelakon Hollywood, George Clooney, sebelum ini berdepan kritikan kerana gagal mengkritik secara terbuka perang di Gaza.

Dalam pada itu, Karim mewakili ICC menepis kritikan terhadap usaha tribunal untuk mendapatkan waran dengan menegaskan tiada sesiapa yang berada di atas undang-undang.

"Baik AS mahupun Israel harus patuh, walaupun kedua-dua negara itu bukan ahli ICC," katanya dalam wawancara eksklusif bersama penyampai berita CNN, Christiane Amanpour.

Sekiranya ICC mengeluarkan waran tangkap terhadap Netanyahu atau mana-mana menteri Kabinetnya, ia akan menyukarkan mereka untuk pergi ke mana-mana daripada 124 negara yang mengiktiraf ICC, termasuk sekutu utama AS seperti Britain dan Jerman.

Ia akan memaksa negara anggota untuk bekerjasama dengan usaha mengekstradisi mereka yang tertakluk kepada waran tangkap ICC itu.

Sementara itu di Washington, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, menyelar tindakan ICC yang bersedia mengeluarkan waran tangkap ke atas Netanyahu dan menteri-menteri Kabinetnya.

Biden turut menyifatkan permohonan pendakwa raya ICC untuk keluarkan waran tangkap terhadap pemimpin Israel sebagai keterlaluan

"Apa sahaja yang didakwa oleh pendakwa ini, tiada persamaan – langsung tiada - antara Israel dan Hamas. Kami akan sentiasa berdiri bersama Israel menentang ancaman terhadap keselamatannya," kata Biden dalam kenyataan dikeluarkan Rumah Putih.

Pentadbiran Biden berulang kali menyatakan sokongan 'kukuh' kepada Israel ketika perang dengan Hamas dan pada masa sama, lantang menyuarakan kebimbangan terhadap angka kematian orang awam yang tinggi di Gaza selain membantah sekatan bantuan kemanusiaan.

Pengumuman permohonan waran tangkap oleh ICC itu menyaksikan kali pertama ia dilakukan ke atas pemimpin sekutu utama AS.

Ia bakal meletakkan Netanyahu di kedudukan sama seperti Presiden Rusia, Vladimir Putin dan bekas pemimpin Libya, Muammar Gadafi, yang mana kedua-dua pemimpin itu turut dikeluarkan waran tangkap sebelum ini ICC.

Setiausaha Negara AS, Antony Blinken pula berkata, AS pada asasnya menolak pengumuman mahkamah sambil menegaskan, ia boleh menjejaskan usaha berterusan untuk mencapai gencatan senjata dan perjanjian tebusan antara pihak yang bertelagah.

Pentadbiran Biden juga mempersoalkan sama ada ICC mempunyai bidang kuasa untuk mendapatkan arahan penahanan itu manakala Speaker Dewan Rakyat, Mike Johnson menyifatkan usaha ICC sebagai 'tidak berasas dan tidak sah'. - AGENSI

Berita Harian X