Jumaat, 17 Mei 2024 | 4:58pm
Elon Musk berulang kali menggunakan huruf X dalam penjenamaan syarikatnya, bermula pada tahun 1999 dengan percubaannya untuk menubuhkan sebuah gudang kewangan dalam talian yang dipanggil X.com. - Foto AFP
Elon Musk berulang kali menggunakan huruf X dalam penjenamaan syarikatnya, bermula pada tahun 1999 dengan percubaannya untuk menubuhkan sebuah gudang kewangan dalam talian yang dipanggil X.com. - Foto AFP

Tiada lagi burung biru, Twitter bertukar sepenuhnya kepada X.com

PARIS: Platform media sosial yang dahulunya dikenali sebagai Twitter bertukar sepenuhnya kepada X.com, kata pemiliknya, Elon Musk hari ini.

Pengasas jenama Tesla, SpaceX dan beberapa syarikat lain itu membeli Twitter dengan harga AS$44 bilion (RM206.2 bilion) pada 2022, dan mengumumkan penjenamaan semula kepada X Julai lalu.

Walaupun logo dan namanya ditukar kepada X, akan tetapi domainnya kekal Twitter.com setakat hari ini.

"Semua sistem teras kini berada di X.com," tulis Musk di platform X yang logonya kini berwarna putih.

Musk berulang kali menggunakan huruf X dalam penjenamaan syarikatnya, bermula tahun 1999 dengan percubaannya ketika itu untuk menubuhkan sebuah gudang kewangan dalam talian yang dipanggil X.com.

Apabila Musk membeli Twitter, beliau menubuhkan sebuah syarikat bernama X Corp untuk menutup perjanjian itu.

Musk memberitahu hasratnya untuk menjadikan X sebagai aplikasi super sama seperti WeChat di China.

Aplikasi China jauh lebih besar jika dibandingkan dengan X dan menggabungkan pemesejan, panggilan suara dan video, media sosial, pembayaran mudah alih, permainan, berita, tempahan dalam talian dan perkhidmatan lain.

Beliau juga menggunakan X, sebuah chatbox kecerdasan buatan (AI) dipanggil 'Grok' yang dilancarkan di Eropah minggu ini.

X yang diterajui Musk turut mengundang kontroversi, antaranya beliau dilapor memecat ribuan kakitangan, menyelia masalah teknikal utama dan memulihkan akaun ahli teori konspirasi sayap kanan termasuk dimiliki oleh bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Pengawal selia Eropah juga mula menjalankan siasatan terhadap platform X dan media sosial lain kerana bimbang dengan maklumat salah.

Kesatuan Eropah (EU) pada awal bulan ini menuntut X menjelaskan keputusannya untuk mengurangkan kakitangan penyederhanaan kandungan, menetap tarikh akhir berbuat demikian pada Jumaat.

AFP menghubungi X untuk mendapatkan maklum balas entiti berkenaan. - AFP

Berita Harian X