Sabtu, 4 Mei 2024 | 10:46am
Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di The Hague, Belanda. - Foto REUTERS
Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di The Hague, Belanda. - Foto REUTERS

ICC beri amaran terhadap 'ancaman'

THE HAGUE: Pendakwa Raya Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) memberi amaran terhadap ancaman dan ugutan yang tidak dinyatakan puncanya, susulan laporan bahawa Israel bimbang tribunal itu boleh mengeluarkan waran tangkap berhubung perang di Gaza.

ICC yang berpangkalan di Hague, Belanda, tidak menyatakan sama ada komen itu berkaitan dengan siasatannya terhadap kemungkinan jenayah perang oleh Israel atau kumpulan pejuang Palestin di Gaza dan Tebing Barat.

Ketua Pendakwa Raya ICC, Karim Khan, berkata beliau menyedari kepentingan awam yang mustahak dan berusaha untuk membabitkan diri secara konstruktif dengan semua pihak berkepentingan untuk bertindak adil.

Namun, katanya, kebebasan dan kesaksamaan ICC terjejas apabila ada individu mengugut mahu bertindak balas terhadap tindakan mahkamah ini atau kakitangannya.

"Ancaman sedemikian, walaupun tidak diambil tindakan, mungkin menjadi satu kesalahan terhadap pentadbiran keadilan ICC," menurut pejabat Khan sambil memberi amaran dan menggesa aktiviti sedemikian dihentikan.

Bagaimanapun, pejabat Khan enggan menyatakan dari mana datangnya ancaman dan penyiasatan yang berkenaan, apabila disoal AFP.

Laporan media Amerika Syarikat (AS) dan Israel mencadangkan pendakwa ICC boleh mengeluarkan waran terhadap kedua-dua pihak dalam perang Israel-Palestin termasuk Perdana Israel, Menteri Benjamin Netanyahu dan pemimpin Hamas.

Netanyahu berkata, sekiranya ICC bercadang untuk mengeluarkan waran tangkap terhadap pegawai kanan kerajaan dan tentera Israel sebagai penjenayah perang, ia akan menimbulkan kemarahan.

Akhbar Axios melaporkan bahawa Israel memberi amaran kepada Washington bahawa ia akan bertindak balas terhadap Pihak Berkuasa Palestin (PA), yang boleh membawa kepada keruntuhannya jika ICC mengeluarkan waran tangkap.

Anggota Kongres AS juga memberi amaran mengenai tindakan balas oleh Washington, lapor Axios.

AS berkata, ia turut menentang siasatan ICC terhadap kelakuan Israel di Gaza, atas alasan ia tidak mempunyai bidang kuasa. AS dan Israel enggan mengiktiraf serta bukan anggota mahkamah berkenaan.

ICC adalah satu-satunya mahkamah bebas di dunia yang ditubuhkan untuk menyiasat kesalahan paling berat oleh suspek individu, termasuk pembunuhan beramai-ramai, jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan.

Ia sebelum ini mengeluarkan waran tangkap untuk beberapa pemimpin negara dan yang terbaru, Presiden Russia, Vladimir Putin, susulan pencerobohan ke atas Ukraine. - AFP

Berita Harian X