Khamis, 25 April 2024 | 8:56am
Gambar hiasan. - Foto NSTP
Gambar hiasan. - Foto NSTP

Penggunaan alkohol, e-rokok dalam kalangan belia 'membimbangkan' - WHO

COPENHAGEN: Laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) cawangan Eropah menyatakan penggunaan alkohol dan e-rokok secara meluas dalam kalangan remaja adalah 'membimbangkan' dan mengesyorkan langkah untuk mengehadkan akses.

Sementara itu, berdasarkan data tinjauan daripada 280,000 orang muda berusia 11, 13 dan 15 tahun di Eropah, Asia Tengah dan Kanada, WHO berkata, ia menunjukkan 'trend' penggunaan itu dalam kalangan golongan muda.

"Kesan jangka panjang akibat trend ini adalah penting, dan pembuat dasar tidak mampu mengabaikan penemuan yang membimbangkan ini," kata badan kesihatan itu.

Laporan itu mendapati, seramai 57 peratus kanak-kanak berumur 15 tahun meminum alkohol sekurang-kurangnya sekali, iaitu 59 peratus di kalangan perempuan manakala hanya 56 peratus, lelaki.

WHO berkata, trend minum alkohol secara keseluruhan susut bagi kanak-kanak lelaki tetapi ia meningkat untuk kanak-kanak perempuan.

Mengenai penggunaan semasa - ditakrifkan sebagai minum alkohol sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh 30 hari terakhir - lapan peratus kanak-kanak lelaki berumur 11 tahun dilaporkan minum, berbanding lima peratus kanak-kanak perempuan.

Bagaimanapun, pada usia 15 tahun, kanak-kanak perempuan dilihat mengatasi kanak-kanak lelaki, dengan 38 peratus daripada mereka mengatakan, minum sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh 30 hari yang lalu, manakala hanya 36 peratus bagi kanak-kanak lelaki.

"Penemuan ini menyerlahkan bagaimana alkohol tersedia dan menjadi kebiasaan, sekali gus menunjukkan keperluan mendesak untuk dasar lebih baik bagi melindungi kanak-kanak dan golongan muda daripada bahaya yang disebabkan oleh alkohol.

"Selain itu juga, sebanyak sembilan peratus remaja dilaporkan mengalami 'mabuk yang ketara' - iaitu mabuk sekurang-kurangnya dua kali," lapor WHO Eropah - yang mengumpulkan sampel daripada 53 negara termasuk beberapa di Asia Tengah.

WHO berkata, kadar itu meningkat daripada lima peratus dalam kalangan remaja berusia 13 tahun kepada 20 peratus bagi remaja berusia 15 tahun, 'menunjukkan trend yang semakin meningkat bagi penyalahgunaan alkohol dalam kalangan belia'.

Dalam laporan penggunaan rokok dan e-rokok pula mendapati, situasi merokok semakin berkurangan, dengan 13 peratus daripada kanak-kanak berumur 11 hingga 15 tahun merokok pada 2022.

Walaupun ia dua mata peratus kurang daripada empat tahun sebelumnya, laporan itu juga menyatakan ramai daripada mereka beralih kepada penggunaan e-rokok.

Kira-kira 32 peratus daripada kanak-kanak berumur 15 tahun dikesan menggunakan e-rokok dan 20 peratus dilaporkan menggunakannya dalam tempoh 30 hari yang lalu.

"Penggunaan bahan berbahaya secara meluas dalam kalangan kanak-kanak di banyak negara di seluruh Wilayah Eropah - dan seterusnya - adalah ancaman kesihatan awam yang serius," kata Pengarah Wilayah WHO untuk Eropah, Hans Kluge dalam satu kenyataan.

Kluge juga menyarankan cukai yang lebih tinggi, sekatan dalam jualan dan pengiklanan serta larangan ke atas bahan perasa.

"Pembabitan dalam tingkah laku berisiko tinggi semasa remaja boleh membentuk tingkah laku dewasa, dengan penggunaan bahan itu pada usia awal boleh dikaitkan dengan risiko ketagihan yang lebih tinggi.

"Kemudaratannya terlalu tinggi untuk mereka dan masyarakat," kata laporan itu.

Laporan itu juga menunjukkan, penggunaan ganja menurun sedikit dengan 12 peratus kanak-kanak berumur 15 tahun dilapor pernah menggunakannya, turun empat peratus dalam beberapa tahun ini.

Dijalankan setiap empat tahun oleh WHO, tinjauan HBSC (Kelakuan Kesihatan dalam Kanak-Kanak Berumur Sekolah) meneliti tingkah laku kesihatan kanak-kanak berumur 11, 13 dan 15 tahun. - AFP

Berita Harian X