Khamis, 25 April 2024 | 7:51am
Wabak Influenza Burung Sangat Patogenik (HPAI) merebak dalam kalangan ternakan lembu tenusu di seluruh Amerika Syarikat (AS) dan ia sudah menjangkiti seorang manusia, yang menunjukkan gejala ringan. - Foto REUTERS
Wabak Influenza Burung Sangat Patogenik (HPAI) merebak dalam kalangan ternakan lembu tenusu di seluruh Amerika Syarikat (AS) dan ia sudah menjangkiti seorang manusia, yang menunjukkan gejala ringan. - Foto REUTERS

Risiko selesema burung menjangkiti manusia amat kecil - Pakar

PARIS: Penemuan virus selesema burung dalam susu lembu pasteur di Amerika Syarikat (AS) mengejutkan ramai hingga menimbulkan persoalan sama ada penyakit itu boleh merebak kepada manusia, namun pakar mendakwa risikonya amat rendah.

Pihak berkuasa AS, semalam mengumumkan mereka menemui kesan virus selesema burung dalam bekalan susu lembu sewaktu kajian besar dilakukan dan sampel itu didakwa 'mungkin tidak menimbulkan risiko kesihatan kepada manusia'.

Wabak Influenza Burung Sangat Patogenik (HPAI) merebak dalam kalangan ternakan lembu tenusu di seluruh AS dan pihak berkuasa berkata, ia sudah menjangkiti seorang manusia, yang menunjukkan gejala ringan.

Walaupun strain H5N1 HPAI membunuh berjuta-juta ayam dalam gelombang semasa, lembu yang dijangkiti pula tidak sakit teruk.

Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) AS berkata, semasa tinjauan nasional, mereka sudah menemui zarah virus dalam 'susu hasil haiwan yang terjejas, iaitu di sistem pemprosesan dan di rak'.

Sampel itu ditemui menerusi ujian 'quantitative polymerase chain reaction' (qPCR), yang mampu mengesan saki-baki bahan genetik patogen - meskipun virus itu dilihat dapat dimatikan menerusi haba proses pempasteuran.

Strain selesema burung A/H5N1 pertama kali muncul pada 1996 tetapi sejak 2020 bilangan burung yang tercemar meningkat dengan semakin banyak mamalia dijangkit.

Pada Mac lalu, spesies lembu dan kambing berada dalam senarai jangkitan hingga mengejutkan pakar kerana haiwan berkenaan tidak dianggap berisiko dijangkiti virus jenis ini.

"Di AS, virus H5N1 baharu bercampur dengan virus tempatan dan berupaya untuk membiak dengan sangat cepat dalam kantung susu lembu," kata Pengarah Jabatan Alam Sekitar dan Risiko Jangkitan di Institut Pasteur di Paris, Jean-Claude Manuguerra.

Kebanyakan pakar juga mengatakan, walaupun virus selesema burung mampu merebak kepada manusia, kemungkinan pencemaran yang meluas adalah tipis.

Bagaimanapun, daripada kira-kira 900 kes H5N1 yang didokumenkan pada manusia sejak 20 tahun lalu oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), separuh daripadanya berakhir dengan kematian.

Namun, jika jangkitan menerusi minum susu pasteur, risikonya menurun kepada hampir sifar disebabkan pempasteuran akan memusnahkan virus walaupun ia tidak menghapuskan kesan kehadirannya. - AFP

Berita Harian X