Sabtu, 13 April 2024 | 9:56pm

Skim ponzi tanaman dadah tarik pelabur

MADRID: Pasukan polis yang diketuai oleh Sepanyol menahan geng yang didakwa menipu sejumlah 645 juta euro (RM3.2 bilion) daripada mangsa di 35 negara.

Menurut Polis Sepanyol dalam satu kenyataan, penipuan itu berpusat di sekitar kawasan tanaman ganja untuk kegunaan perubatan, mengkehendaki mangsa melabur dalam sistem pemasaran dan perlu menghadiri pameran ganja antarabangsa.

Sepanyol mengetuai operasi itu dengan bantuan Polis Eropah (EUROPOL) dan pasukan polis dari lima negara lain.

Sembilan suspek yang tidak dinamakan, ditahan pada 11 April lalu kerana disyaki melakukan penipuan di Sepanyol, Britain, Jerman, Latvia, Poland, Itali dan Republik Dominica.

Jurucakap Polis Sepanyol, Silvia Garrido, berkata model perniagaan yang ditawarkan oleh organisasi ini menggunakan modal yang dipindahkan daripada pelabur untuk membangunkan perkongsian bagi membiayai penanaman tanaman ganja.

"Dengan sistem ini, mereka menjanjikan keuntungan untuk mangsa antara 70 peratus dan 168 peratus setahun, bergantung kepada spesies ganja yang mereka laburkan," katanya.

Agensi Jenayah Kebangsaan British (NCA), yang mengambil bahagian dalam operasi itu berkata, sebanyak 180,000 orang melabur dana dalam skim penipuan ponzi 'JuicyFields' yang terkenal dan rumit.

NCA memaklumkan bahawa seorang lelaki berusia 42 tahun hadir di mahkamah London pada 11 April lalu, untuk memulakan prosiding ekstradisi.

Polis berkata, kereta mewah, pesta di hotel dan video muzik digunakan dalam kempen pengiklanan bagi mempromosikan skim berkenaan.

Tambah polis, mangsa dibawa ke ladang ganja yang sah terbabit dengan penipuan itu.

Pada 2022, polis pernah melakukan serbuan tetapi tidak menjelaskan sama ada suspek sudah didakwa atas sebarang kesalahan.

Polis juga menyekat akaun bank yang mengandungi simpanan 58,600 euro (RM297.747) dan 116,300 euro (RM590,921) dalam mata wang kripto, termasuk menemui wang tunai berjumlah 106,000 euro (RM538,586).

Turut dirampas hartanah bernilai 2.6 bilion euro (RM13.2 bilion) -REUTERS

Berita Harian X