Khamis, 4 April 2024 | 2:46pm
Anggota tentera Israel memeriksa senjatanya di kawasan Golan Heights yang diduduki, dekat sempadan Syria. - Foto AFP
Anggota tentera Israel memeriksa senjatanya di kawasan Golan Heights yang diduduki, dekat sempadan Syria. - Foto AFP

Majlis Hak Asasi PBB pertimbang sekat jualan senjata kepada Israel

GENEVA: Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bersedia mempertimbangkan deraf resolusi menggesa mana-mana pihak menjual senjata kepada Israel esok, hampir enam bulan selepas perang di Gaza.

Jika teks itu diterima pakai, maka ia bakal menandakan kali pertama badan hak tertinggi PBB mengambil pendirian mengenai perang Gaza yang paling berdarah.

Deraf resolusi yang diedarkan semalam mengutuk 'menjadikan kebuluran orang awam sebagai kaedah peperangan di Gaza' selain menuntut Israel menegakkan tanggungjawab undang-undang bagi mencegah pembunuhan beramai-ramai.

Dokumen itu dikemukakan oleh Pakistan bagi pihak 55 daripada 56 negara anggota PBB yang menyertai Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), kecuali Albania.

Penaja bersama deraf resolusi itu adalah Bolivia, Cuba dan delegasi Palestin di Geneva.

Perkara terkandung dalam deraf itu antara lain menuntut Israel menamatkan pencerobohannya di wilayah Palestin dan segera menarik balik sekatannya di Semenanjung Gaza, termasuk semua bentuk hukuman lain.

Antara lain, ia turut menggesa semua negara memainkan peranan menghentikan penjualan, pemindahan dan pengalihan senjata, peluru serta peralatan ketenteraan lain kepada Israel.

Gesaan itu tidak lain bagi mencegah pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan pelanggaran serta penyalahgunaan hak asasi manusia.

Selain itu, deraf berkenaan juga mengecam penggunaan senjata letupan dengan kesan meluas oleh Israel di kawasan berpenduduk di Gaza dan penggunaan kecerdasan buatan (AI) untuk membuat keputusan tentera yang mungkin menyumbang kepada perbuatan jenayah antarabangsa.

Pada masa sama, ia menggesa negara untuk memastikan Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) menerima pembiayaan mencukupi dan menuntut Israel menghentikan perluasan penempatan di wilayah Palestin.

Ia termasuklah memberi amaran terhadap perbuatan mengaitkan kritikan terhadap Israel dengan sentimen anti-Yahudi selain menggesa gencatan senjata segera serta akses kemanusiaan kecemasan.

Pada minggu lalu, Majlis Keselamatan PBB (UNSC) di New York meluluskan resolusi menggesa gencatan senjata dan menghargai tindakan berkecuali Amerika Syarikat (AS) iaitu sekutu terdekat Israel.

Deraf resolusi itu tidak menamakan Hamas secara khusus tetapi dokumen itu mengutuk tembakan roket ke kawasan awam Israel selain menuntut pembebasan segera semua baki tebusan.

Sejumlah 18 daripada 47 negara menganggotai Majlis Hak Asasi Manusia PBB mengemukakan deraf resolusi terbabit.

Sebanyak 24 undi diperlukan untuk memperoleh sokongan majoriti tetapi resolusi berkenaan boleh diluluskan dengan undi yang lebih sedikit jika ada negara yang berkecuali. - AFP

Berita Harian X