Rabu, 27 March 2024 | 5:21pm
Tahap buli siber tertinggi dialami oleh kanak-kanak lelaki di Bulgaria, Lithuania, Moldova dan Poland. - Foto AFP
Tahap buli siber tertinggi dialami oleh kanak-kanak lelaki di Bulgaria, Lithuania, Moldova dan Poland. - Foto AFP

Hampir 1 daripada setiap 6 kanak-kanak dibuli siber - WHO Eropah

COPENHAGEN: Laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Eropah mendedahkan kira-kira 16 peratus kanak-kanak berusia antara 11 hingga 15 tahun berdepan insiden buli siber pada 2022.

Berdasarkan kajian di 44 negara itu, jumlah berkenaan meningkat daripada 13 peratus kira-kira empat tahun lalu.

Tahap buli siber tertinggi dialami kanak-kanak lelaki di Bulgaria, Lithuania, Moldova dan Poland, manakala paling rendah dilaporkan di Sepanyol.

Pengarah Wilayah WHO Eropah, Hans Kluge, berkata berdasarkan kajian 'Tingkah Laku Kesihatan Kanak-kanak di peringkat Sekolah' itu, 15 peratus kanak-kanak lelaki dan 16 peratus kanak-kanak perempuan dilaporkan dibuli siber sekurang-kurangnya sekali dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

"Laporan ini adalah isyarat untuk kita semua menangani buli dan keganasan, bila-bila masa serta di mana sahaja ia berlaku.

"Anak muda menghabiskan masa sehingga enam jam dalam talian setiap hari, dan walaupun hanya membabitkan perubahan kecil dalam kadar buli dan keganasan, ia boleh mempunyai implikasi yang mendalam untuk kesihatan serta kesejahteraan ribuan orang," katanya dalam kenyataan.

Kajian itu dibuat berdasarkan data daripada 279,000 kanak-kanak dan remaja dari 44 negara di seluruh Eropah, Asia Tengah dan Kanada.

Di kebanyakan tempat, buli siber memuncak apabila kanak-kanak berusia 11 tahun untuk lelaki dan 13 tahun untuk perempuan.

Menurut agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu, COVID-19 mengubah cara remaja berkelakuan antara satu sama lain.

"Bentuk keganasan secara maya dalam kalangan rakan sebaya menjadi sangat biasa sejak bermulanya pandemik COVID-19, apabila dunia anak muda banyak dihabiskan secara maya ketika sekatan dilaksanakan," katanya.

Menurut kajian itu, seorang dalam setiap lapan remaja mengaku membuli siber, peningkatan tiga mata peratusan daripada 2018.

Sementara itu, insiden buli lain sebahagian besarnya tidak merekodkan peningkatan ketara.

Sebanyak 11 peratus lelaki dan perempuan melaporkan dibuli di sekolah sekurang-kurangnya dua atau tiga kali sebulan dalam beberapa bulan lalu, berbanding 10 peratus empat tahun lalu. - AFP

Berita Harian X