Rabu, 27 March 2024 | 2:46pm

8 juta pekerjaan di UK bakal lenyap akibat AI

LONDON: Dianggarkan lapan juta pekerjaan di United Kingdom (UK) diramal bakal lenyap berikutan kewujudan kecerdasan buatan (AI), lapor akhbar The Independent.

Analisis dijalankan oleh Institut Kajian Dasar Awam (IPPR) mendapati UK tidak terkecuali daripada berdepan 'ancaman' teknologi berkenaan lantas menggesa kerajaan melaksanakan strategi perindustrian yang adil.

Laporan itu mengenal pasti dua peringkat utama penggunaan AI secara generatif. Gelombang pertama, sedang dijalankan dan gelombang kedua di mana syarikat akan mengintegrasikan teknologi AI dengan lebih mendalam dalam urusan mereka.

Integrasi AI dalam urusan syarikat, kata laporan itu adalah satu peringkat yang mencadangkan sebanyak 59 peratus daripada tugas dilakukan pekerja berisiko terdedah untuk digantikan dengan sistem automasi AI sekiranya tiada campur tangan.

Dijangka bahagian pentadbiran dan sokongan, pekerjaan yang mengkehendaki sedikit pengalaman dan kerja sambilan paling berisiko untuk 'diganggu' gelombang pertama.

Pekerjaan yang bakal lenyap merangkumi bidang kesetiausahaan, perkhidmatan pelanggan dan pentadbiran dengan wanita serta golongan muda kemungkinan besar akan terjejas dengan kehadiran AI.

Selain itu, mereka yang bergaji lebih rendah dikenal pasti sebagai golongan paling terdedah untuk digantikan dengan AI.

Untuk gelombang kedua, laporan meramalkan AI boleh menyebabkan 7.9 juta kehilangan pekerjaan dan tiada keuntungan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Bagaimanapun, laporan itu mencadangkan jika kerajaan dan industri proaktif dalam melindungi pekerja apabila penggunaan AI semakin meningkat, memungkinkan terdapat manfaat ekonomi yang besar.

Bagaimanapun, jika penggunaan AI dapat disepadukan dengan kemahiran manusia, ia dijangka boleh membawa peningkatan ekonomi sebanyak 13 peratus kepada KDNK bersamaan kira-kira 306 bilion pound (RM1.79 trilion) setahun.

Menurut Ahli Ekonomi Kanan di IPPR, Carsten Jung, AI generatif sedia ada boleh membawa kepada gangguan pasaran buruh yang besar.

Beliau juga tidak menolak AI boleh meningkatkan pertumbuhan ekonomi secara besar-besaran.

"Banyak firma sudah melabur di dalamnya dan ia berpotensi untuk mempercepatkan lebih banyak tugas apabila lebih banyak perniagaan menggunakannya.

"Dalam tempoh lima tahun akan datang, ia boleh mengubah pengetahuan kerja. Persoalannya sekarang adakah AI berguna? Seberapa pantas dan bagaimana majikan akan menggunakannya?

"Sejarah menunjukkan bahawa peralihan teknologi boleh menjadi rahmat jika diurus dengan baik atau boleh berakhir dengan gangguan sekiranya dibiarkan tanpa kawalan," katanya. -AGENSI

Berita Harian X