Isnin, 25 March 2024 | 9:15am
Presiden Perancis, Emmanuel Macron. - Foto AGENSI
Presiden Perancis, Emmanuel Macron. - Foto AGENSI

Jangan paksa penduduk Rafah pindah, amaran Perancis kepada Israel

PARIS: Presiden Perancis, Emmanuel Macron, menegaskan kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, bahawa sebarang pemindahan secara paksa penduduk dari bandar Rafah di selatan Gaza dikira sebagai 'jenayah perang'.

Menurut pejabat Presiden, dalam panggilan telefon membabitkan kedua-dua pemimpin itu, Macron turut 'mengutuk sekeras-kerasnya' pengumuman Israel pada Jumaat mengenai rampasan 800 hektar tanah di Tebing Barat yang diduduki untuk penempatan baharu.

Kumpulan aktivis berkata, pengisytiharan bahawa tanah di utara Lembah Jordan kini menjadi 'tanah Israel', adalah rampasan terbesar dilakukan dalam tempoh beberapa dekad.

Macron juga mengulangi bantahannya terhadap mana-mana operasi ketenteraan Israel untuk memerangi Hamas di Rafah, kawasan di mana paling ramai penduduk Palestin berlindung dan terkepung sejak perang Israel-Palestin bermula 7 Oktober lalu.

Dalam panggilan itu, Macron memberitahu Netanyahu bahawa beliau berhasrat membawa deraf resolusi kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC), menggesa 'gencatan senjata segera dan berkekalan'.

Beliau turut mendesak Israel supaya segera membuka semua lintasan sempadan ke Gaza.

Menurut Istana Elysee, Macron turut mengadakan perbincangan dengan Raja Jordan Abdullah II, di mana mereka membincangkan 'keadaan kemanusiaan yang tidak dapat diterima di Gaza'.

Penempatan haram Israel, Givat Zeev, dekat Ramallah yang dibina di tanah Palestin yang diduduki secara haram oleh peneroka Yahudi. - Foto AFP
Penempatan haram Israel, Givat Zeev, dekat Ramallah yang dibina di tanah Palestin yang diduduki secara haram oleh peneroka Yahudi. - Foto AFP

Menurut kedua-dua pemimpin itu, memaksa orang awam berdepan risiko kebuluran adalah tindakan 'tidak wajar'.

Mereka turut bersetuju mengenai keperluan penyelesaian dua negara untuk konflik Israel-Palestin, yang menbawa kepada pengisytiharan Palestin termasuk Gaza sebagai negara merdeka.

Serangan darat terancang Israel ke atas Rafah terus berdepan tentangan hebat antarabangsa dengan amaran bahawa ia akan menyebabkan orang awam terkorban dan memburukkan lagi krisis kemanusiaan.

Israel sebelum ini menegaskan kempennya untuk memusnahkan Hamas sama sekali perlu dicapai sebelum sebarang rundingan damai.

Israel berikrar untuk memusnahkan pejuang Hamas yang masih menahan kira-kira 250 tebusan, dengan Israel percaya kira-kira 130 orang masih berada di Gaza, termasuk 33 yang dianggap sudah terkorban.

Menurut Kementerian Kesihatan di wilayah kendalian Hamas, lebih 32,070 penduduk Palestin maut di Gaza berikutan perang yang berlanjutan hampir enam bulan. - AFP

Berita Harian X