Selasa, 19 March 2024 | 10:18am
Deretan bendera Kesatuan Eropah (EU) berkibar di luar bangunan ibu pejabat Suruhanjaya EU di Brussels, Belgium. - Foto REUTERS
Deretan bendera Kesatuan Eropah (EU) berkibar di luar bangunan ibu pejabat Suruhanjaya EU di Brussels, Belgium. - Foto REUTERS

Pemimpin haluan kiri EU mahu perang di Ukraine 'ditamatkan'

BRUSSELS: Ketua politik haluan kiri utama Kesatuan Eropah (EU) menyatakan sudah tiba masanya untuk rundingan menamatkan perang Russia di Ukraine, selain menyokong gesaan kontroversi oleh Paus Francis supaya Kyiv mengibarkan 'bendera putih'.

Calon gabungan Parti Haluan Kiri Eropah untuk mengetuai Suruhanjaya Eropah (EC) seterusnya, Walter Baier, berkata penduduk Ukraine perlu dibebaskan daripada kesengsaraan perang.

"Saya percaya bagi membantu rakyat Ukraine ia lebih bermakna jika ada usaha menamatkan perang," kata pemimpin dari Austria berusia 70 tahun itu.

Baier menggariskan partinya, yang mempunyai 26 ahli penuh termasuk Die Linke dari Jerman, Parti Komunis Perancis dan parti Syriza dari Greece, mengutuk sekeras-kerasnya pencerobohan Russia dalam manifesto pilihan raya Eropah pada Jun ini.

Dalam temu bual dalam program 'European Newsroom' semalam, yang menghimpunkan agensi berita termasuk AFP, beliau berkata pendekatan baharu perlu diambil bagi menangani 'kejumudan konflik'.

"Saya mahukan pembabitan EU dalam mengambil usaha diplomatik untuk memulakan rundingan bagi mencapai gencatan senjata dan untuk memastikan pengunduran tentera Russia.

"Dalam hal ini, saya menyokong penuh gesaan Paus Francis. Sudah tiba masa menamatkan perang dan masa berunding dan menghentikan pembunuhan," kata bekas ketua Parti Komunis Austria itu.

Bagaimanapun, setakat ini penganalisis tidak melihat usul rundingan yang berpotensi menamatkan perang di Ukraine dalam masa terdekat.

Ini berikutan Presiden Russia, Vladimir Putin semakin berani selepas menangi pilihan raya umum, selain kemerosotan sokongan Barat yang memihak kepada Kyiv, walaupun Ukraine bertekad terus berjuang untuk menawan semula wilayahnya.

Sementara itu, Presiden EC, Charles Michel, menyanggah pendapat Baier berhubung Ukraine dan menegaskan Eropah mesti mengukuhkan keupayaan pertahanannya.

Katanya, Kesatuan Eropah (EU) perlu beralih kepada fasa 'ekonomi perang' sebagai tindak balas kepada ancaman yang ditimbulkan oleh Russia bagi menyekat Putin.

Dalam ruangan editorial yang diterbitkan dalam akhbar Eropah dan laman sesawang Euractiv, Michel dilaporkan akan mempengerusikan mesyuarat pemimpin EU pada Khamis ini bagi membincangkan sokongan untuk Ukraine.

Sehubungan itu, katanya, Eropah perlu bertanggungjawab untuk keselamatannya sendiri dan tidak terlalu bergantung kepada sokongan negara luar seperti Amerika Syarikat (AS).

"Jika kita tidak mendapat maklum balas yang betul daripada EU dan tidak memberikan sokongan yang cukup kepada Ukraine untuk menghentikan Russia, negara kita menjadi sasaran seterusnya.

"Oleh itu, kita mesti bersedia untuk meningkatkan pertahanan dan beralih kepada fasa 'ekonomi perang', jika kita menginginkan keamanan, kita mesti bersedia untuk berperang," katanya.

Michel menggesa negara anggota EU memastikan Ukraine menerima apa yang diperlukan di medan perang termasuk dengan membelanjakan dana kesatuan itu bagi membiayai peralatan ketenteraan.

Katanya, aset Russia di negara EU yang dirampas susulan sekatan yang dikenakan boleh diguna untuk membiayai pembelian keperluan ketenteraan dan senjata untuk Ukraine.

Beliau menggesa negara EU memudahkan pelaburan bagi pertahanan termasuk mempertimbangkan untuk mengubah mandat cabang pinjaman EU, Bank Pelaburan Eropah, untuk membenarkannya menyokong industri pertahanan Eropah.

Semalam, negara EU meluluskan perjanjian untuk meningkatkan sokongan EU kepada angkatan tentera Ukraine sebanyak 5 bilion euro (RM25.51 bilion).

Ia diumumkan ketika tentera Kyiv memerlukan lebih banyak sumber untuk bertahan daripada serangan Russia memandangkan pakej bantuan AS$60 bilion (RM283.44 bilion) yang dijanjikan AS untuk Ukraine masih tersekat di Kongres. - AGENSI

Berita Harian X