Ahad, 17 March 2024 | 9:59am
Bekas Presiden Russia, Dmitry Medvedev, yang kini berkhidmat sebagai timbalan pengerusi Majlis Keselamatan negara itu, mengundi pada pilihan raya Presiden Russia di wilayah Moscow, kelmarin. -AFP
Bekas Presiden Russia, Dmitry Medvedev, yang kini berkhidmat sebagai timbalan pengerusi Majlis Keselamatan negara itu, mengundi pada pilihan raya Presiden Russia di wilayah Moscow, kelmarin. -AFP

Russia tuduh Kyiv sabotaj pilihan raya

MOSCOW: Russia menuduh Ukraine menggunakan aktiviti pengganas untuk cuba mengganggu pilihan raya presiden di negara itu.

Bekas Presiden, Dmitry Medvedev mengecam "pengkhianat" yang melakukan tunjuk perasaan dengan membakar bilik mengundi dan menuang pewarna ke dalam peti undi.

Perang Ukraine membayangi pilihan raya kali ini, yang pastinya akan memberikan Presiden Vladimir Putin tempoh enam tahun lagi di Kremlin.

Kementerian Luar Russia berkata, Kyiv meningkatkan aktiviti pengganasnya ketika pilihan raya untuk menunjukkan aktivitinya kepada pengendali Barat dan meminta lebih banyak bantuan kewangan dan senjata.

Katanya, sebuah dron Ukraine menjatuhkan peluru di tempat mengundi di wilayah Zaporizhzhia, Ukraine yang dikuasai Russia.

Agensi berita TASS yang dikendalikan kerajaan memetik seorang pegawai pilihan raya tempatan, melaporkan tiada kerosakan atau kecederaan apabila bahan letupan itu mendarat lima atau enam meter dari bangunan yang menempatkan pusat mengundi sebelum ia dibuka di sebuah kampung kira-kira 20 km (12 batu) timur bandar Enerhodar.

Tiada maklum balas segera daripada pegawai di Ukraine, yang menganggap pilihan raya di wilayahnya yang dikuasai oleh Russia sebagai haram dan tidak sah.

Sementara itu, Ketua Suruhanjaya Pilihan Raya, Ella Pamfilova berkata, dalam dua hari pertama pengundian, berlaku 20 insiden cubaan memusnahkan kertas undi dengan menuang pelbagai cecair ke dalam peti undi dan lapan kes cubaan membakar serta satu bom asap.

Mengulas mengenai kejadian itu, Medvedev berkata, mereka yang bertanggungjawab boleh berdepan tuduhan khianat dan hukuman selama 20 tahun.

"Ini adalah bantuan secara langsung kepada mereka yang memusnahkan dan menyerang bandar kita hari ini," tulisnya di media sosial, merujuk kepada serangan Ukraine.

Pada hari terakhir mengundi, hari ini, penyokong bekas ketua pembangkang Alexei Navalny, menggsa orang ramai untuk keluar beramai-ramai pada tengah hari dalam protes berterusan terhadap Putin di setiap daripada 11 zon waktu negara itu.

Media Russia, memetik jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov sebagai berkata Putin menerima laporan oleh tentera sejak beberapa hari kebelakangan ini mengenai percubaan serangan oleh pensabotaj di kawasan sempadan Belgorod dan Kursk, termasuk beberapa cubaan pencerobohan yang kesemuanya dipetik sebagai digagalkan.

Seorang pegawai kanan perisikan Ukraine berkata kumpulan bersenjata yang disifatkannya sebagai orang Russia yang menentang Kremlin, mengubah wilayah itu menjadi "zon aktif tempur." -REUTERS

Berita Harian X