Sabtu, 16 March 2024 | 7:58am
Presiden Russia Vladimir Putin mengundi dalam talian pada pilihan raya presiden di kediaman negara Novo-Ogaryovo di luar Moscow, Russia pada 15 Mac 2024. - Foto Sputnik/Pavel Byrkin/Kremlin via REUTERS
Presiden Russia Vladimir Putin mengundi dalam talian pada pilihan raya presiden di kediaman negara Novo-Ogaryovo di luar Moscow, Russia pada 15 Mac 2024. - Foto Sputnik/Pavel Byrkin/Kremlin via REUTERS

Putin ikrar balas dendam serangan Ukraine ketika rakyat Russia mengundi

MOSCOW: Presiden Vladimir Putin berikrar akan melancarkan tindak balas ketenteraan terhadap serangan Ukraine di sempadan Russia yang disifatkannya sebagai percubaan Kyiv menggagalkan usaha pemilihan semula.

Ikrar itu dinyatakan ketika berucap pada majlis keselamatan, hari pertama pengundian tiga hari yang turut diadakan di wilayah diduduki Ukraine dan tanpa calon pembangkang dibenarkan bertanding.

Beliau menjanjikan tindak balas yang keras terhadap gelombang serangan udara Ukraine yang membawa maut di kawasan sempadan Belgorod dan Kursk yang turut menyaksikan pertempuran sengit sejak kebelakangan ini dengan kumpulan sabotaj pro-Kyiv.

"Serangan oleh musuh ini tidak akan terlepas daripada hukuman," kata pemimpin Russia itu dalam ulasan disiarkan di televisyen milik kerajaan.

"Ini adalah percubaan untuk mengganggu pilihan raya presiden," tambah pemimpin Russia berusia 71 tahun itu.

Putin berkuasa di Russia sejak 1999 dan bersedia melanjutkan cengkaman kuasanya sehingga 2030.

Kremlin mengedarkan imej yang menunjukkan Putin mengundi dalam talian di komputer pejabatnya dan melambai ke arah kamera selepas mengeluarkan ikrar untuk menyerang balik Ukraine, dan ketika serangan Russia mengorbankan sekurang-kurangnya 19 orang di bandar pelabuhan Odesa, Ukraine.

Pemimpin itu bertanding tanpa dicabar, setelah menghalang dua calon yang menentang konflik di Ukraine dan kira-kira sebulan selepas lawan utamanya, Alexei Navalny, meninggal dunia di penjara Artik dalam keadaan yang tidak dapat dijelaskan.

Pihak berkuasa menggalakkan rakyat Russia untuk mengundi atas dasar patriotik, dengan Kremlin berkata pilihan raya akan membuktikan negara itu menyokong Putin sepenuhnya dalam serangan ke atas Ukraine.

Wartawan AFP di pusat mengundi di ibu negara menemubual rakyat Russia yang menyokong Putin tetapi juga mendengar daripada pengundi yang mengatakan mereka ditekan untuk mengambil bahagian.

"Jika saya tidak datang mengundi, saya akan menghadapi masalah," kata Nadezhda, seorang ballerina berusia 23 tahun, kepada AFP.

"Kebanyakan orang muda memahami bahawa mereka tidak boleh melakukan apa-apa, bahawa mereka tidak boleh mengubah apa-apa," kata Nadezhda, yang telah menghabiskan hidup di bawah pemerintahan Putin.

Hari pertama pengundian dicemari dengan perbuatan vandalisme di pusat mengundi, dengan sekurang-kurangnya sembilan tangkapan kerana mencurah pewarna ke dalam peti undi dan serangan pembakaran.

Di Moscow, video menunjukkan seorang wanita membakar bilik mengundi, memenuhi tempat mengundi dengan asap, manakala seorang lagi menunjukkan seorang wanita menuang pewarna hijau ke dalam peti undi.

Empat yang lain di wilayah Rusia Voronezh, Karachay-Cherkessia dan Rostov ditahan atas kesalahan sama. Di Saint Petersburg dan di Siberia, wanita ditahan kerana membaling molotov koktel di pusat mengundi.

Seorang lelaki turut ditahan kerana menyalakan bunga api di dalam pusat mengundi di bandar Ural Chelyabinsk.

Tidak jelas sama ada insiden di pusat mengundi adalah protes terkoordinasi terhadap undi atau insiden terpencil.

"Nampaknya orang Russia telah memilih membentuk protes mereka: merosakkan bilik mengundi," kata Tatiana Stanovaya, seorang penganalisis politik Russia yang dihormati.

Jika Putin melengkapkan satu lagi penggal Kremlin, beliau akan kekal berkuasa lebih lama daripada mana-mana pemimpin Russia sejak Catherine the Great pada abad ke-18.

Ramai penduduk yang datang mengundi Putin di Moscow didorong oleh satu kebimbangan: berharap Russia akan menang di Ukraine.

Lyudmila, 70 tahun yang merupakan pengundi pertama di sekolah pusat Moscow, menyokong Putin dan mengharapkan kemenangan.

Proses mengundi juga berlangsung di lima wilayah yang diduduki di timur Ukraine yang didakwa Russia telah diilhakan, termasuk semenanjung Crimea.

Di bandar Skladovsk yang diduduki di selatan Ukraine, pegawai yang dilantik Russia berkata bahan letupan diletupkan di lokasi mengundi tetapi tiada kemalangan jiwa.

Berita Harian X