Jumaat, 15 March 2024 | 10:59am
kapal kumpulan bantuan, SOS Mediterranee, Ocean Viking, yang terbabit dalam operasi menyelamatkan pendatang asing tanpa izin (PATI) Libya terkandas di perairan antarabangsa. - Foto AFP
kapal kumpulan bantuan, SOS Mediterranee, Ocean Viking, yang terbabit dalam operasi menyelamatkan pendatang asing tanpa izin (PATI) Libya terkandas di perairan antarabangsa. - Foto AFP

60 PATI maut ketika cuba menyeberangi Mediterranean

MARSEILLE: Sekurang-kurangnya 60 orang maut di atas bot pendatang asing tanpa izin (PATI) yang enjinnya hilang kuasa ketika ia cuba menuju ke Eropah dari Libya, menurut kumpulan bantuan SOS Mediterranee.

"Mereka yang terselamat melaporkan bahawa sekurang-kurangnya 60 orang maut dalam perjalanan, termasuk wanita dan sekurang-kurangnya seorang kanak-kanak.

"Penumpang lain dilaporkan hanyut tanpa makanan atau air selama beberapa hari," kata SOS Mediterranee yang berpangkalan di Marseille.

Bagaimanapun, setakat ini tidak jelas bagaimana atau apa punca kematian penumpang yang lain.

Ketika ini, sebuah kapal penyelamat Ocean Viking dilaporkan membawa 224 orang yang diselamatkan dari bot berbeza, menuju ke pelabuhan.

Antaranya ialah 25 daripada bot mangsa yang terselamat selepas memulakan perjalanan dari Zawiya, Libya pada 8 Mac lalu.

Selain itu, 113 penumpang diselamatkan pada Rabu, 88 lagi pada Khamis daripada sebuah kapal yang terlebih muatan.

Ia telah diarahkan ke Ancona di pantai timur Itali, yang menurut SOS Mediterrannee, berada kira-kira 1,450 kilometer (km) dari kedudukannya sekarang.

Agensi Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Migrasi Antarabangsa (IOM), turut melahirkan kebimbangan mengenai berita kapal karam di Mediterranean Tengah.

Kumpulan bantuan itu berkata, ia sudah meminta pihak berkuasa Itali untuk menyediakan lokasi lebih dekat untuk mendarat.

SOS Mediterranee dilaporkan sudah menyelamatkan lebih daripada 39,000 orang di Mediterranean sejak 2016, kebanyakannya di laluan Mediterranean Tengah, laluan pendatang asing paling berbahaya di dunia.

Tahun lalu, 3,105 pendatang asing mati atau dilaporkan hilang ketika cuba menyeberangi Mediterranean ke Eropah, menurut angka IOM manakala tahun ini, jumlahnya mencecah 278 mangsa. - AFP

Berita Harian X