Jumaat, 15 March 2024 | 9:31am
Presiden Perancis, Emmanuel Macron. - Foto REUTERS
Presiden Perancis, Emmanuel Macron. - Foto REUTERS

Russia tak akan berhenti setakat Ukraine - Macron

PARIS: Presiden Perancis, Emmanuel Macron, memberi amaran kepada sekutu Eropah yang semakin mengehadkan had sokongan kepada Ukraine kerana ia mempertaruhkan keselamatan Eropah dalam pertempuran Kyiv menentang pencerobohan Russia.

Macron sebelum ini mengejutkan sekutunya apabila tidak menolak kemungkinan menghantar tentera ke Ukraine ketika pasukan pertahanan negara itu semakin tertekan akibat asakan Russia sejak musim panas lalu.

Beliau berkata, penghantaran tentera darat bukan dalam agenda sekarang tetapi Eropah perlu memastikan 'semua pilihan' terbuka sekiranya perang merebak sehingga mengancam Eropah.

Komen Macron itu dibuat ketika beliau bersiap untuk ke Berlin bagi menghadiri sidang kemuncak di Ukraine dengan sekutunya, Canselor Jerman, Olaf Scholz dan Perdana Menteri Poland, Donald Tusk, hari ini.

Katanya, Eropah tidak boleh menunjukkan kelemahan dan melakukan segala yang mampu untuk menghalang Russia memenangi perang yang turut mengancam keselamatan rakyat Perancis dan Eropah.

"Jika Russia memenangi perang ini, kredibiliti Eropah akan merudum kepada sifar," katanya dalam wawancara dengan penyiar Perancis TF1 dan televisyen France 2.

Macron menyifatkan konflik di Ukraine banyak mempengaruhi keselamatan Eropah serta Perancis dan sesiapa saja yang memilih untuk mengehadkan bantuan kepada Ukraine sebenarnya 'memilih kekalahan'.

Katanya, terdapat terlalu banyak had ditetapkan sejak pencerobohan Russia pada Februari 2022.

"Dua tahun lalu kita berkata kita tidak akan menghantar kereta kebal dan peluru berpandu jarak sederhana, tetapi akhinya dilakukan juga.

Anggota tentera Ukraine diperiksa pasukan tentera pro-Russia ketika meninggalkan kilang besi di bandar pelabuhan Mariupol. - Foto AFP
Anggota tentera Ukraine diperiksa pasukan tentera pro-Russia ketika meninggalkan kilang besi di bandar pelabuhan Mariupol. - Foto AFP

"Russia tidak akan menghentikan cita-cita wilayahnya jika ia memenangi perang di Ukraine, yang secara langsung menimbulkan ancaman kepada negara jiran Moldova, Romania dan Poland.

"Russia menjadi kuasa yang mahu berkembang dan jelas ia tidak akan berhenti di situ.

"Jika kita meninggalkan dan membiarkan Ukraine kalah dalam perang ini, Russia pasti akan mengancam Moldova, Romania, Poland," katanya dalam platform X.

Bagi Perancis, katanya, 'semua pilihan terbuka' dalam usahanya menyokong Ukraine dan bersedia untuk mencegah kemenangan Russia tetapi menegaskan Perancis tidak akan memulakan serangan sekiranya perang tidak dapat dielakkan.

Macron juga memberi amaran bahawa Presiden Russia, Vladimir Putin, tidak boleh dipercayai dan sekiranya Russia menang, kehidupan Perancis akan berubah, tidak akan ada lagi keselamatan di Eropah.

"Siapa boleh percaya bahawa Putin, yang tidak menghormati sebarang protokol atau amalan perang, akan berhenti setakat Ukraine," katanya.

Pada masa sama, Macron, dalam keseluruhan ucapannya, menyifatkan Russia sebagai 'saingan' Perancis dan berhati-hati untuk mengelak daripada menggunakan perkataan 'musuh'. - AFP

Berita Harian X