Jumaat, 8 March 2024 | 6:07pm
(Gambar fail) Ketua Pejabat Presiden Ukraine, Andriy Yermak. - FOTO REUTERS
(Gambar fail) Ketua Pejabat Presiden Ukraine, Andriy Yermak. - FOTO REUTERS

Perang Russia-Ukraine: Kyiv tekankan pelan perdamaian kepada China

KYIV: Pegawai kanan Ukraine dalam pertemuan dengan perwakilan wilayah China, semalam, menekankan perancangan Kyiv untuk menamatkan konflik dengan Russia, dan membentangkan apa yang didakwa sebagai bukti pembekalan senjata oleh Korea Utara kepada Moscow.

Ketua Pejabat Presiden Ukraine, Andriy Yermak melalui Telegram berkata, beliau dan pasukannya membentangkan situasi di medan perang serta cadangan perdamaian kepada wakil khas China untuk hal ehwal Eurasia, Li Hui.

Yermak berkata, pihak Ukraine 'berbincang dengan Li Hui mengenai prospek mewujudkan keamanan yang adil untuk Ukraine, pemulihan integriti wilayah dan kedaulatan negara itu berdasarkan formula keamanan Ukraine.'

Beliau berkata, pihaknya juga menunjukkan kepada delegasi China, contoh serpihan peluru berpandu yang ditembak jatuh dan senjata api yang didakwa buatan Korea Utara serta dibekalkan kepada Russia untuk menyerang Ukraine.

Pelan damai Ukraine, seperti yang dibentangkan oleh Presiden Volodymyr Zelenskiy, menggesa supaya semua tentera Russia dikeluarkan dari negara itu, memulihkan sempadan Ukraine pasca Soviet 1991, serta proses untuk menjadikan Russia bertanggungjawab atas tindakannya.

Sementara itu, Kementerian Luar China dalam satu kenyataan, hari ini pula berkata Li Hui mengadakan 'perbincangan mesra dan berterus-terang' dengan Yermak, Timbalan Perdana Menteri Pertama dan Menteri Luar Ukraine, mengenai hubungan kedua-dua negara serta krisis Ukraine, namun tidak memberikan butiran lanjut.

Sebelum ini, Li Hui mengadakan pertemuan dengan Timbalan Menteri Luar Russia di Moscow pada minggu lalu, dan dilaporkan berkata adalah mustahil untuk membincangkan penyelesaian isu Ukraine tanpa membabitkan Moscow.

Sementara itu di Moscow, Presiden Russia, Vladimir Putin dalam satu rakaman perutusan sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa, hari ini, memuji tentera wanita yang berperang di Ukraine dan mereka yang menyokong tentera Russia.

Beliau turut mengeluarkan dekri untuk membebaskan 52 banduan wanita, termasuk mereka yang mempunyai saudara-mara dalam perkhidmatan tentera. - AGENSI

Berita Harian X