Isnin, 4 March 2024 | 8:31am
Anggota polis Switzerland berkawal di luar sinagog (rumah ibadat Yahudi), Agudas Achim di Zurich. - Foto AFP
Anggota polis Switzerland berkawal di luar sinagog (rumah ibadat Yahudi), Agudas Achim di Zurich. - Foto AFP

Polis Switzerland tingkat kawalan selepas Yahudi Ortodoks ditikam

GENEVA: Polis Switzerland meningkatkan kawalan keselamatan terhadap penunjuk perasaan yang berarak di Zurich selepas seorang lelaki Yahudi Ortodoks ditikam dalam serangan anti-Yahudi oleh seorang remaja.

Penunjuk perasaan berarak dari kawasan kediaman, tempat di mana serangan berlaku, ke pusat bandar untuk mengadakan acara memperingati mangsa.

Kebanyakan penunjuk perasaan membawa payung kuning yang melambangkan perjuangan menentang anti-Yahudi.

Semalam, polis Zurich memberitahu mereka meningkatkan keselamatan di sekitar institusi Yahudi di bandar itu berikutan serangan di mana lelaki seorang Yahudi berusia 50 tahun cedera teruk ditikam.

Seorang remaja lelaki Switzerland berusia 15 tahun disyaki melakukan serangan itu dan sudah ditahan di tempat kejadian tetapi polis dalam kenyataannya berkata motif serangan itu masih belum jelas.

"Bagaimanapun, pegawai dan pejabat pendakwa raya yang bertanggungjawab dalam penyiasatan itu sedang melihat kemungkinan bahawa ia adalah 'jenayah anti-Yahudi'.

Seorang jurugambar melihat pegawai polis ditempatkan di luar sinagog (rumah ibadat Yahudi) Agudas Achim di Zurich.

Selepas berunding dengan institusi Yahudi di bandar itu, polis berkata mereka memutuskan untuk meningkatkan keselamatan sebagai langkah berjaga-jaga.

Persekutuan Komuniti Israel Switzerland (SIG) berkata pihaknya 'sangat terkejut' bahawa serangan sedemikian boleh berlaku di Switzerland.

Yayasan GRA Menentang perkauman dan anti-Yahudi mengecam serangan itu dan mendakwa ada saksi mendengar pelaku melaungkan slogan anti-Yahudi, yang mengesyorkan ia mungkin jenayah kebencian.

"Ia bukan sekadar kes terpenci. Sejak ketegangan di Asia Barat, kes anti-Yahudi di Switzerland meningkat," katanya dalam satu kenyataan.

Jenayah kebencian anti-Yahudi dan anti-Islam secara keseluruhan semakin meningkat di banyak negara sejak serangan balas Israel terhadap Palestin pada 7 Oktober tahun lalu. - AFP

Berita Harian X