Ahad, 3 March 2024 | 8:31am
Anggota penyelamat mengeluarkan mayat di tapak bangunan kediaman yang rosak teruk akibat serangan dron Russia, di Odesa, Ukraine pada 2 Mac 2024. - REUTERS
Anggota penyelamat mengeluarkan mayat di tapak bangunan kediaman yang rosak teruk akibat serangan dron Russia, di Odesa, Ukraine pada 2 Mac 2024. - REUTERS

Ukraine tagih lebih banyak bantuan pertahanan udara daripada Barat

KYIV: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky menggesa Barat untuk segera menghantar lebih banyak sistem pertahanan udara susulan gelombang peluru berpandu, dron dan serangan artileri Russia mengorbankan sekurang-kurangnya 11 orang.

"Russia terus menyerang orang awam dan kami memerlukan lebih banyak pertahanan udara daripada rakan kongsi.

"Kita perlu mengukuhkan perisai udara Ukraine untuk menambah lebih banyak perlindungan kepada rakyat daripada keganasan Russia.

"Lebih banyak sistem pertahanan udara dan peluru berpandu diperlukan untuk sistem pertahanan udara bagi menyelamatkan nyawa," katanya.

Semalam, seramai lapan disahkan maut, termasuk seorang kanak-kanak dan bayi dalam serangan dron di bandar pelabuhan selatan Odesa, manakala dalam tembakan berasingan di wilayah Kharkiv, Kherson dan Zaporizhzhia, tiga orang terbunuh.

Ukraine kini semakin lemah dalam perang dua tahun berikutan pakej bantuan penting bernilai AS$60 bilion (RM284 bilion) masih disekat di Kongres Amerika Syarikat.

Serangan berlaku ketika Russia berusaha menekan kelebihannya di medan perang dan Kyiv mengakui ia menghadapi kekurangan peluru di tengah-tengah kelewatan bantuan.

Menurut Menteri Pertahanan, separuh daripada semua peluru Barat yang dijanjikan tiba di negara itu lewat.

Akibatnya, tentera Russia maju ke arah barat berikutan penawanan Avdiivka bulan lalu, merampas beberapa kampung kecil dalam beberapa hari kebelakangan ini.

Bagaimanapun Ketua Komander Ukraine yang baharu, Oleksandr Syrsky, berkata keadaan di barisan hadapan kekal sukar, tetapi terkawal.

Kyiv juga melancarkan serangan dron yang menyasarkan depoh minyak, tetapi dron dengan bahan letupan itu ditembak jatuh hingga merosakkan bangunan kediaman di Saint Petersburg, bandar kedua terbesar di Russia.

Berita Harian X