Rabu, 28 Februari 2024 | 11:48pm
Foto hiasan - FAIL REUTERS
Foto hiasan - FAIL REUTERS

Kumpulan media fail saman Google lebih RM10 bilion

BRUSSELS: Sebanyak 32 kumpulan media termasuk Axel Springer dan Schibsted memfailkan saman berjumlah 2.1 bilion Euro (RM10.97 bilion) terhadap Google hari ini, atas dakwaan menanggung kerugian berikutan amalan pengiklanan digital syarikat gergasi itu.

Langkah digerakkan kumpulan termasuk penerbit di Austria, Belgium, Bulgaria, Republik Czech, Denmark, Finland, Hungary, Luxembourg, Belanda, Norway, Poland, Sepanyol dan Sweden itu muncul serentak tindakan pengatur antipakatan menerjah perniagaan teknologi pengiklanan Google.

"Syarikat media menanggung kerugian berikutan pasaran yang kurang berdaya saing berikutan salah laku Google," kata kenyataan yang dikeluarkan peguam mereka, Geradin Partners and Stek.

"Jika Google tidak menyalah guna kedudukan berpengaruhnya, syarikat media akan menerima keuntungan lebih tinggi daripada pengiklanan dan membayar yuran lebih rendah bagi perkhidmatan teknologi iklan.

"Dana ini sepatutnya boleh dilabur semua ke arah memperkukuh landskap media Eropah," kata kenyataan itu.

Sementara itu, jurucakap bagi pihak Google berkata, syarikat berkenaan menentang saman terbabit atas dasar "spekulatif dan oportunis".

"Google bekerja rapat secara konstruktif bersama penerbit di seluruh Eropah. (Kemudahan pengiklanan kami) bekerjasama dengan penerbit berkenaan," katanya.

Tahun lalu, Google tidak bersetuju dengan dakwaan antipakatan terhadap perniagaan teknologi iklannya yang mana syarikat itu terbabit dalam membeli dan menjual.

Sejak beberapa tahun lalu, penerbit di seluruh dunia tidak berpuas hati dengan penguasaan meluas syarikat teknologi gergasi dalam pengiklanan yang menyebabkan hasil keuntungan menyusut.

Menurut penganalisis, Google ialah platform pengiklanan digital paling berkuasa di dunia. - REUTERS

Berita Harian X