Rabu, 28 Februari 2024 | 6:35pm
Seorang pekerja memasang poster Olimpik Paris 2024 di ibu negara Perancis itu. - AFP
Seorang pekerja memasang poster Olimpik Paris 2024 di ibu negara Perancis itu. - AFP

Beg mengandungi data pelan trafik Olimpik Paris dicuri

PARIS: Sebuah beg berisi komputer dan dua kad memori mengandungi data keselamatan bagi Sukan Olimpik Paris dilaporkan hilang, berkemungkinan dicuri daripada seorang jurutera Dewan Bandaraya Paris.

Perkara itu disahkan pejabat pendakwa raya Paris, hari ini.

Pejabat berkenaan dalam satu kenyataan berkata, siasatan kes diserahkan kepada polis pengangkutan kerana kejadian dilapor berlaku di stesen kereta api Gare du Nord pada 26 Februari lalu.

"Walaupun jurutera berkenaan menyatakan beg itu mengandungi kad memori USB profesional, perlu dinyatakan ia hanya mengandungi maklumat berkaitan trafik di Paris sepanjang Olimpik dan bukan pelan keselamatan sensitif," katanya.

Penganjur Olimpik Paris 2024 enggan mengulas.

Temasya Olimpik Paris dijadual berlangsung pada 26 Julai hingga 11 Ogos.

Kira-kira 30,000 anggota polis dijangka bertugas setiap hari sepanjang temasya sukan terbesar dunia itu berlangsung, dengan sekitar 300,000 pengunjung dijadual menghadiri majlis pembukaan di tebing Sungai Seine. - REUTERS

Berita Harian X