Rabu, 28 Februari 2024 | 5:11pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Undi tambah pencen bulan ke-13 warga tua Switzerland

ZURICH: Switzerland bakal mengadakan pungutan suara Ahad ini berkaitan cadangan menambah bayaran pencen kepada golongan tua.

Ia dijangka sengit dengan ramai yang bimbang bagaimana perancangan itu akan dibiayai.

Pungutan suara yang digerakkan oleh Persekutuan Kesatuan Sekerja Switzerland dan disokong pihak berhaluan kiri-tengah, adalah cadangan menyediakan bayaran pencen bulanan ke-13 kepada warga tua.

Ia bertujuan mengurangkan kos sara hidup di Switzerland yang mempunyai kadar sewa sangat tinggi.

Zurich, bandar metropolis terbesar di negara itu, terikat dengan Singapura sebagai bandar termahal di dunia dalam kajian diterbitkan oleh Unit Perisikan Ekonomi pada November lalu.

Bagaimanapun, kaedah pembayaran kenaikan pencen itu masih kabur dengan kerajaan dan Parlimen Switzerland cenderung menolak cadangan itu kerana berisiko dari segi kewangan serta berpihak kepada pembangkang.

Penentang berpendapat, rancangan yang dijangka berkuat kuasa mulai 2026 itu boleh mendorong kenaikan cukai atau pemotongan perbelanjaan, selain memanfaatkan pesara lebih kaya yang tidak memerlukan bayaran berkenaan.

Bagaimanapun, penyokong berkata, sistem pencen stabil dan kenaikan dicadang adalah berpatutan serta diperlukan.

Tinjauan pendapat akhir tahun lalu menunjukkan lebih dua pertiga warga Switzerland menyokong kenaikan pencen, namun tinjauan firma pengundian gfs.bern minggu lalu menunjukkan ia hanya meraih 53 peratus sokongan.

Pencen umur tua dan pemandiri minimum (AHV) di Switzerland ketika ini bernilai 1,225 Swiss franc (RM6,634.86) sebulan dan maksimum ialah 2,450 Swiss franc (RM13,243.41), manakala bayaran untuk pasangan dihadkan pada 3,675 franc (RM19,865.11).

Mereka yang tidak dapat menampung keperluan sedia ada boleh menuntut bayaran tambahan.

Pengundi juga berpeluang membuat keputusan mengenai inisiatif meningkatkan umur persaraan berkanun kepada 66 tahun menjelang 2033.

Tinjauan berpandangan rancangan itu akan tidak diteruskan. - REUTERS

Berita Harian X