Rabu, 28 Februari 2024 | 12:04pm
Gambar hiasan.
Gambar hiasan.

7 wanita dibunuh dengan kejam di Turkiye dalam sehari

ISTANBUL: Sekurang-kurangnya tujuh wanita dibunuh secara kejam oleh pasangan atau bekas pasangannya di seluruh Turkiye dalam tempoh sehari, menurut pengiraan oleh sebuah stesen televisyen, Haber Turk pada Selasa.

Katanya, kes kematian tujuh wanita berusia 32 hingga 49 tahun itu, akibat ditembak atau ditikam, berlaku di bandar Izmir, Bursa, Sakarya, Erzurum, Denizli dan Istanbul.

"Suspek dalam kesemua kes adalah sama ada pasangan atau bekas pasangan yang sudah berpisah," kata penyiar itu, yang turut menyenaraikan nama mangsa serta gambar mereka di laman sesawangnya.

Sekurang-kurangnya tiga penyerang membunuh diri, dua sudah ditangkap, sementara seorang yang cedera semasa ditahan meninggal dunia manakala nasib suspek ketujuh, yang melarikan diri dari penjara sebelum membunuh isterinya, masih tidak jelas.

Pada 2023, badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan hak wanita, 'We Will Stop Femicide' (Kita Akan Hentikan Pembunuhan Wanita) merekodkan 315 kes pembunuhan membabitkan wanita, 65 peratus daripadanya dibunuh di kediamannya sendiri.

Tambahan 248 kes lagi adalah kes kematian mencurigakan, yang disifatkan sebagai bunuh diri oleh pihak berkuasa, namun kumpulan feminis mengaitkannya dengan pihak ketiga.

Pada 2021, Turkiye menarik diri daripada konvensyen Majlis Eropah berkaitan pencegahan dan memerangi keganasan terhadap wanita dan rumah tangga.

Gagasan yang dikenali sebagai Konvensyen Istanbul itu menuntut pihak berkuasa menyiasat dan menghukum keganasan terhadap wanita.

Namun, menurut NGO di Turkiya, dalam tempoh 15 tahun, yang menyaksikan bilangan pembunuhan wanita berkurangan adalah pada 2011, tahun ketika Konvensyen Istanbul diterima pakai.

Saman turut difailkan terhadap 'We Will Stop Femicide' oleh pendakwa raya Istanbul pada 2022 atas dakwaan 'aktiviti tidak bermoral' tetapi sudah digugurkan pada September lalu. - AFP

Berita Harian X