Rabu, 28 Februari 2024 | 9:20am
Gambar hiasan. - Foto AFP
Gambar hiasan. - Foto AFP

Sekutu NATO tolak hantar tentera berperang di Ukraine

BERLIN: Amerika Syarikat (AS) dan sekutu utama Eropah menegaskan mereka tidak bercadang menghantar tentera berperang di Ukraine, selepas Perancis membayangkan kemungkinan itu.

Tindakan itu menimbulkan kemarahan Russia, dengan Kremlin memberi amaran langkah sedemikian akan membawa kepada konflik secara langsung antara Russia dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Terdahulu pada Isnin, Presiden Perancis, Emmanuel Macron berkata, sekutu Barat tidak harus mengecualikan pilihan dalam usaha untuk mengelak kemenangan berpihak kepada Russia di Ukraine, biarpun menegaskan tiada konsensus dicapai untuk itu.

Pandangan beliau itu dibuat ketika mesyuarat bersama pemimpin Eropah di Paris bagi membincangkan cara untuk meningkatkan sokongan kepada Kyiv.

Macron mengemukakan cadangan itu berikutan kemaraan tentera Presiden Russia, Vladimir Putin, di timur Ukraine serta kekurangan bekalan peluru dan kekuatan tentera yang semakin meningkat di pihak Ukraine.

Bagaimanapun, AS, Jerman, Britain, Sepanyol, Poland dan Republik Czech menjauhkan diri daripada sebarang cadangan untuk menghantar tentera darat berperang di Ukraine.

"Tiada askar di Ukraine dihantar dari negara Eropah atau NATO," kata Canselor Jerman, Olaf Scholz pada Selasa.

Menteri Pertahanan Jerman, Boris Pistorius juga membuat penegasan sama.

Rumah Putih kemudian mengulangi komitmen sama dan sebaliknya menggesa penggubal undang-undang AS meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) bantuan keselamatan bagi memastikan tentera Ukraine mendapat senjata dan peluru diperlukan untuk meneruskan perjuangan mereka.

Menteri Luar Perancis, Stephane Sejourne, pada Selasa cuba menjelaskan bahawa maksud di sebalik kenyataan presidennya adalah cadangan menghantar tentera bagi melaksana tugas tertentu seperti membantu pembersihan periuk api, jerangkap samar, pengeluaran senjata di tapak dan pertahanan siber.

"(Ini) mungkin memerlukan kehadiran (tentera) di wilayah Ukraine, tanpa campur tangan dalam pertempuran," kata Sejourne kepada Ahli Parlimen Perancis.

Scholz berkata, pemimpin Eropah kelihatan bersedia selepas rundingan Isnin itu, untuk mendapatkan bekalan senjata dabn peluru dari negara luar Eropah sebagai usaha mempercepatkan bantuan ketenteraan kepada Ukraine.

Jerman menjadi pembekal bantuan ketenteraan kedua terbesar ke Kyiv sejak Russia melancarkan pencerobohan sepenuhnya ke atas Ukraine pada 24 Februari 2022.

Sementara itu, Kremlin mengeluarkan amaran segera terhadap cadangan Macron itu.

"Hakikat untuk kemungkinan menghantar kontinjen tertentu ke Ukraine dari negara NATO adalah elemen baru yang sangat penting," kata jurucakapnya, Dmitry Peskov, kepada pemberita, sebagai mengulas kenyataan Macron.

Ditanya mengenai risiko jika anggota NATO mengerahkan tentera untuk berperang di Ukraine, Peskov berkata, jika ia berlaku, maka konflik lebih besar tidak dapat dielakkan.

Russia dan AS mempunyai simpanan senjata nuklear terbesar di dunia, dengan Presiden AS, Joe Biden sudah memberi amaran konflik antara Russia dan NATO boleh mencetuskan Perang Dunia Ketiga.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy, yang terkejut dengan tentangan besar anggota parti Republikan AS bagi meluluskan penyaluran bantuan ke Kyiv, kini mengalihkan usaha untuk memperoleh lebih banyak peluru dan senjata dari negara Eropah.

Republik Czech bulan ini mengumumkan rancangannya, yang disokong Kanada, Denmark dan beberapa negara lain, untuk membiayai pembelian pantas ratusan ribu butir peluru dari negara ketiga untuk dihantar ke Ukraine. - REUTERS

Berita Harian X