Selasa, 27 Februari 2024 | 4:01pm
Petani menyekat laluan utama di serata Eropah dengan menggunakan traktor bagi membantah kerenah birokrasi yang mengongkong sektor itu. - Foto REUTERS
Petani menyekat laluan utama di serata Eropah dengan menggunakan traktor bagi membantah kerenah birokrasi yang mengongkong sektor itu. - Foto REUTERS

Petani Eropah teruskan bantahan, sekat jalan

BRUSSELS: Petani Eropah sekali lagi berdepan polis anti-rusuhan di Brussels ketika menteri Kesatuan Eropah (EU) cuba mencari jalan menyelaras peraturan dan kurangkan kerenah birokrasi yang sebelum ini mencetuskan bantahan di seluruh blok itu.

Dianggarkan 900 traktor memenuhi bandar raya berkenaan, mengakibatkan laluan utama terjejas buat kali kedua dalam tempoh sebulan.

Petani turut menyalakan bunga api, membakar tayar, membaling telur dan melempar baja najis ternakan ke arah polis, yang sebelum itu melepaskan tembakan meriam air serta gas pemedih mata.

Biarpun tidak ada laporan mengenai kecederaan, kebuntuan itu menunjukkan siri terbaru protes dalam kalangan petani di seluruh Eropah, didorong pelaksanaan dasar alam sekitar EU yang didakwa menjejaskan keupayaan petani selain isu membenarkan import lebih murah memasuki EU.

Menteri-menteri pertanian dari blok 27 negara EU berada di Brussels untuk meneliti cadangan bagi memudahkan pelaksanaan Dasar Pertanian Bersama (CAP) EU, dalam percubaan terbaru mereka untuk cuba meredakan kemarahan petani.

Bagaimanapun, bagi peserta penunjuk perasaan di Brussels, yang kebanyakannya datang dari Sepanyol, Portugal dan Itali serta Belgium, tiada satu pun usaha berkenaan yang dianggap mencapai tahap sudah mencukupi.

Antara penunjuk perasaan termasuk Marieke Van de Vivere, yang hadir membantah pelaksanaan dasar hijau, atas dakwaan ia menjejaskan ladang keluarganya.

"Adalah tanggungjawab mereka untuk bercakap dengan kami tetapi mereka tidak lakukan, sebaliknya menyusahkan lagi petani.

"Contohnya, bila kuda kita berak, kita perlu beritahu mereka berapa banyak najisnya, perlu bayar ikut kadar najis kuda, memberitahu mereka apa yang berlaku dengan najis kuda itu, ke mana ia pergi dan pada hari apa ia berlaku. Ini terlalu sukar untuk dijelaskan," katanya.

Siri bantahan oleh petani itu membangkitkan kemarahan Presiden Perancis, Emmanuel Macron, mengejutkan pemimpin EU, yang bimbang ia boleh menjejaskan sokongan sayap kanan mereka menjelang pilihan raya Parlimen Eropah pada Jun.

Suruhanjaya Eropah sebelum ini membayangkan untuk mengurangkan bilangan pemeriksaan ladang di tapak sehingga 50 peratus dan memberi kelonggaran kepada petani yang gagal memenuhi keperluan CAP yang disebabkan cuaca melampau.

"Langkah ini akan menjadi tindakan pertama ke arah menjawab kebimbangan orang ramai, tetapi ia masih belum mencukupi," kata Menteri Pertanian Belgium, David Clarinval, kepada pemberita selepas mesyuarat itu.

Beliau berkata, negara EU juga menggesa suruhanjaya berkenaan mencadangkan langkah-langkah baharu, termasuk untuk mengurangkan lebih banyak kerenah birokrasi.

"Sekarang ini, kami memerlukan sesuatu yang praktikal dan boleh beroperasi", kata Menteri Pertanian Perancis, Marc Fesneau.

Namun, kata beliau, untuk memenuhi beberapa tuntutan ini akan memerlukan pindaan kepada undang-undang.

"Sama ada itu berlaku sebelum atau selepas pilihan raya Eropah tidak penting. Apa yang penting ialah bergerak ke hadapan," katanya.

Menteri Pertanian Jerman, Cem Ozdemir, pula mengakui kemarahan yang terus meningkat kesan dari pelaksanaan dasar itu.

"CAP semasa adalah raksasa birokrasi," katanya, yang menyeru pembaharuan dilaksana. - AFP

Berita Harian X