Selasa, 27 Februari 2024 | 9:35am
Presiden Perancis, Emmanuel Macron, berucap pada persidangan antarabangsa memperkukuhkan sokongan negara Barat kepada Ukraine bagi menangkis pencerobohan Russia, di istana presiden Elysee Palace, di paris. Perancis. - Foto AFP
Presiden Perancis, Emmanuel Macron, berucap pada persidangan antarabangsa memperkukuhkan sokongan negara Barat kepada Ukraine bagi menangkis pencerobohan Russia, di istana presiden Elysee Palace, di paris. Perancis. - Foto AFP

Macron, Zelenskiy beri amaran Russia akan serang Eropah

PARIS: Presiden Perancis, Emmanuel Macron, memberi amaran bahawa negara Eropah harus bersedia menghadapi kemungkinan diserang oleh Russia di masa depan.

Justeru, beliau menggesa penyaluran lebih banyak usaha untuk membantu Ukraine dari segi kewangan dan ketenteraan untuk meyekat Russia sebelum keseluruhan Eropah menghadapi ancaman sama.

Kira-kira 20 pemimpin Eropah berkumpul di Paris pada Isnin untuk menghantar mesej kepada Presiden Russia, Vladimir Putin, mengenai keazaman Eropah terhadap Ukraine dan menentang naratif Kremlin bahawa Russia akan memenangi perang pada tahun ketiga.

"Saya sudah perhatikan semua negara yang diwakili disini sudah menyatakan pandangan... bahawa konsensus bersama ialah kita harus bersedia dalam masa beberapa tahun lagi, untuk Russia menyerang negara-negara ini.

"Kami semua bersetuju bahawa kami tidak mahu berperang dengan rakyat Russia, tetapi bertekad untuk memastikan kawalan dapat dipertingkatkan," kata Macron dalam ucapan pembukaan pada majlis itu.

Tambah beliau, pertemuan itu bertujuan melihat bagaimana semua negara boleh melakukan lebih banyak usaha dari segi ketenteraan, sokongan serta belanjawan.

Macron juga berkata, Perancis tidak menolak kemungkinan menghantar tentera daratnya ke Ukraine tetapi enggan mengulas lanjut mengenainya buat masa sekarang.

Bercakap pada persidangan 20 pemimpin Eropah di Paris, Macron menambah negara-negara Eropah bersetuju untuk melaksana sekatan kepada negara-negara yang membantu Russia memintas sekatan sedia ada susualn pencerobohan terhadap Ukraine.

Macron turut menjemput rakan sejawatnya dari Eropah ke istana Elysee untuk membincangkan cara meningkatkan bekalan peluru ke Ukraine, selepas penasihatnya mendakwa wujud peningkatan pencerobohan Russia di sana sejak beberapa minggu lalu.

"Terdapat keperluan yang mendesak," kata Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte kepada pemberita selepas mesyuarat itu.

Beliau menambah, pemimpin kesatuan itu menyokong inisiatif Czech untuk membeli peluru dari seluruh dunia, dan kemudian dihantar ke Ukraine.

Perdana Menteri Czech, Petr Fiala berkata kira-kira 15 negara sudah menandatangani inisiatif untuk membeli ratusan ribu butir peluru dari negara ketiga.

Bercakap menerusi pautan video, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy, menyokong amaran Macron mengenai peningkatan konflik itu merebak ke Eropah.

"Kita mesti memastikan Putin tidak boleh memusnahkan pencapaian kita dan tidak boleh meluaskan pencerobohannya ke negara lain," katanya.

Canselor Jerman, Olaf Scholz; Menteri Luar Britain, David Cameron serta pemimpin dari Sepanyol, Portugal, Poland dan negara-negara Scandinavia dan Baltik, adalah antara yang hadir.

AS, yang kini berada di bawah tekanan hebat kerana pakej bantuan ketenteraan terbarunya untuk Ukraine tidak melepasi kelulusan Kongres, akan diwakili oleh Penolong Setiausaha Negara bagi Hal Ehwal Eropah dan Eurasia, Jim O'Brien.

Perancis berkata Russia sudah menunjukkan pencerobohan terbarunya dalam beberapa minggu kebelakangan ini, termasuk penerbangan Putin menggunakan pengebom berkeupayaan nuklear, dalam apa yang mereka lihat sebagai percubaan untuk menggertak negara Eropah.

Tanpa menawarkan butiran, Perdana Menteri Slovakia, Robert Fico, berkata beberapa anggota NATO dan Kesatuan Eropah (EU) sedang mempertimbang untuk menghantar askar ke Ukraine secara dua hala. - REUTERS

Berita Harian X