Selasa, 27 Februari 2024 | 12:20am
Guterres di Geneva, semalam. - FOTO AFP
Guterres di Geneva, semalam. - FOTO AFP

Serangan Israel ke atas Rafah bakal beri 'pukulan maut' pada bantuan kemanusiaan - PBB

GENEVA: Operasi ketenteraan berskala penuh yang mahu dilancarkan Israel ke atas Rafah, akan memberi 'pukulan maut' terhadap program bantuan kemanusiaan yang 'amat tenat' di Gaza kini.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, memberi amaran itu ketika berucap pada sesi Majlis Hak Asasi Manusia PBB di Geneva, semalam.

Beliau menegaskan bandar Rafah yang menjadi tumpuan lebih 1.4 juta rakyat Palestin berlindung dalam khemah ketika ini, adalah 'tunjang operasi bantuan kemanusiaan' di wilayah Palestin.

"Serangan habis-habisan Israel ke atas bandar itu nanti bukan saja akan menjadi satu lagi peristiwa ngeri bagi lebih sejuta orang awam Palestin yang sedang berlindung di sana, malah ia juga 'pukulan maut' terhadap program bantuan," katanya.

Kenyataan beliau itu menyusul selepas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, kelmarin dilaporkan berkata rejim Zionis bersiap siaga untuk melancarkan serangan darat di Rafah bagi mencapai 'kemenangan mutlak' ke atas Hamas.

Netanyahu dipetik mendakwa bahawa sebaik saja serangan darat itu dilancarkan kelak, pihaknya akan mencapai kemenangan 'dalam tempoh beberapa minggu', manakala ikhtiar gencatan senjata yang sedang dibincangkan di Doha hanya akan melengahkan operasi berkenaan.

Dalam pada itu, Guterres menekankan walaupun beliau telah berkali-kali meminta Majlis Keselamatan PBB (UNSC) untuk mengambil segala langkah yang perlu bagi 'menamatkan pertumpahan darah di Gaza dan mencegah peningkatan konflik', ia masih gagal bertindak.

Sebagai antara lima anggota tetap UNSC, Amerika Syarikat (AS) - sekutu terbesar Israel - mempunyai kuasa veto yang telah digunakannya sebanyak tiga kali untuk menghalang badan antarabangsa itu daripada memanggil gencatan senjata serta-merta di Gaza. - AFP

Berita Harian X