Isnin, 26 Februari 2024 | 8:27am
Imej satelit pada 20 Februari 2024 menunjukkan kapal kargo Rubymar, milik UK diserang Houthi di Laut Merah menurut tentera AS. - Foto REUTERS
Imej satelit pada 20 Februari 2024 menunjukkan kapal kargo Rubymar, milik UK diserang Houthi di Laut Merah menurut tentera AS. - Foto REUTERS

Kebanyakan pengeksport UK terkesan serangan Laut Merah - Tinjauan

LONDON: Satu tinjauan mendapati kebanyakan pengeksport dan pengilang Britain terkesan dengan konflik di Laut Merah berikutan dakwaan serangan ke atas laluan perkapalan oleh Houthi yang bersekutu dengan Iran di Yaman.

Dewan Perniagaan British (BCC) berkata 55 peratus pengeksport melaporkan gangguan, sama seperti 53 peratus pengeluar dan firma perkhidmatan perniagaan kepada pengguna, termasuklah peruncit dan pemborong.

Merentasi semua perniagaan pula, 37 peratus dilaporkan terkesan.

"Terdapat kapasiti ganti dalam industri perkapalan kargo untuk bertindak balas terhadap kesukaran itu.

"Tetapi kajian kami mencadangkan, jika semakin lama keadaan semasa berterusan, semakin besar kemungkinan tekanan kos akan mula wujud," kata Ketua Dasar Perdagangan BCC, William Bain.

Sesetengah perniagaan juga melaporkan kos sewa kontena mereka meningkat empat kali ganda, manakala selebihnya berdepan kelewatan penghantaran selama tiga hingga empat minggu, serta kesukaran aliran tunai dan kekurangan alat ganti.

Bank of England juga menekankan gangguan Laut Merah sebagai antara risiko kenaikan inflasi yang utama pada tahun ini, walaupun sehingga kini serangan dan konflik yang lebih meluas di Asia Barat dikesan kurang memberi kesan ekonomi di Britain.

Sebagai solidariti kepada rakyat Palestin, sejak November lalu, kumpulan Houthi melancarkan serangan dron dan peluru berpandu berulang kali di Laut Merah, Selat Bab al-Mandab dan Teluk Aden.

Minggu lalu, Houthi berkata, mereka akan meningkatkan serangan ke atas perkapalan yang mempunyai hubungan dengan Israel, Amerika Syarikat (AS) dan Britain.

Tinjauan BCC dijalankan antara 15 Januari dan 9 Februari dengan maklum balas diterima daripada 1,087 firma, dengan 90 peratus daripadanya mempunyai kurang 250 pekerja.

Khamis lalu, Indeks Pengurus Pembelian S&P menunjukkan kos perniagaan British meningkat kepada kadar terpantas dalam tempoh enam bulan pada Februari.

Kos pengangkutan yang lebih tinggi yang berkaitan dengan gangguan Laut Merah dipetik oleh banyak pengeluar, tetapi kenaikan bil gaji merupakan faktor yang lebih besar bagi kebanyakan.

Kos pengangkutan lebih tinggi yang dikaitkan dengan gangguan Laut Merah didakwa banyak pengeluar, tetapi kebanyakan kenaikan sebenarnya berpunca daripada kadar gaji.

Berita Harian X