Isnin, 26 Februari 2024 | 7:40am
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky pada sidang media selepas menghadiri forum ‘Ukraine. Year 2024’ di Kyiv pada 25 Februari 2024. - Foto AFP
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky pada sidang media selepas menghadiri forum ‘Ukraine. Year 2024’ di Kyiv pada 25 Februari 2024. - Foto AFP

Presiden Ukraine rayu lagi bantuan Barat untuk menang perang

KYIV: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky semalam sekali lagi berusaha meraih sokongan Barat apabila menyatakan kemenangan negaranya itu bergantung kepada sokongan daripada negara berkenaan dan harapannya supaya Amerika Syarikat (AS) meluluskan pakej bantuan ketenteraan yang kritikal.

Menerusi pengakuan mengenai kelemahan tenteranya yang jarang berlaku, Zelensky berkata, seramai 31,000 askar Ukraine sudah terbunuh dalam peperangan dan rancangan mereka untuk serangan balas musim panas lalu juga gagal dan dibocorkan kepada Russia.

Justeru, beliau merayu kepada Barat untuk meningkatkan peluang perang Ukraine, sewaktu pencerobohan Russia itu memasuki tahun kedua.

"Sama ada Ukraine akan kalah atau keadaan menjadi sangat sukar untuk kami, atau adanya sejumlah besar korban, ia bergantung kepada anda, kepada rakan kongsi kami, dunia Barat," kata Zelensky.

Ukraine dalam beberapa minggu kebelakangan ini dilihat lemah berikutan kekurangan peluru, malah pakej bantuan AS bernilai AS$60 bilion (RM286.6 bilion) juga disekat akibat perbalahan politik di kongres negara itu.

"Kami mempunyai harapan untuk Kongres dan saya yakin ia akan menjadi positif," kata Zelensky.

Selama berbulan-bulan Ukraine menyatakan, bantuan Barat terlalu lambat untuk sampai dan ia mempunyai akibat nyata apabila perang menentang Russia mula memasuki tahun ketiga.

Buat kali pertama Zelensky menyatakan Russia kini mempunyai maklumat awal mengenai serangan balas mereka dan ia tidak berjaya pada musim panas lalu.

"Pelan tindakan berada di meja Kremlin sebelum tindakan serangan balas bermula," katanya yang pada bulan ini memecat Ketua Komander Tentera, Valery Zaluzhny.

Zelensky bagaimanapun berkata, kerosakan perang Ukraine bagaimanapun jauh lebih rendah daripada apa yang didakwa Russia.

"Sejumlah 31,000 askar Ukraine mati dalam perang ini. Bukan 300,000 atau 150,000 atau apa sahaja yang Putin dan kumpulan pembohongnya katakan," katanya.

Disember lalu, Menteri Pertahanan Rusia Sergei Shoigu berkata, 383,000 askar Ukraine maut atau cedera.

Masuk tahun kedua perang dua negara itu, meraih pelbagai perhatian masyarakat antaranya di Vatican, semalam, Pope Francis menyeru usaha dipergiatkan untuk mencari 'kedamaian yang adil dan berkekalan' terhadap konflik itu.

"Terdapat begitu banyak mangsa, ramai yang cedera, kemusnahan, kesedihan dan air mata atas apa yang dalam tempoh yang sangat lama - yang mana penghujungnya belum dapat kita jangkakan," katanya.

Berita Harian X