Isnin, 26 Februari 2024 | 7:29am
Kepulan asap berikutan pengeboman Israel di Rafah di selatan Semenanjung Gaza pada 25 Februari 2024. - Foto AFP
Kepulan asap berikutan pengeboman Israel di Rafah di selatan Semenanjung Gaza pada 25 Februari 2024. - Foto AFP

Zionis perlu serah laporan cegah genosid di Gaza kepada ICJ hari ini

THE HAGUE: Ketika tarikh akhir sebulan untuk Israel bertindak menghalang pembunuhan beramai-ramai (genosid) di Gaza seperti diarahkan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) hampir tamat, Tel Aviv dijangka menyerahkan laporan mengenai langkah diambil hari ini.

Walaupun keputusan awal di The Hague menuntut Israel mengambil langkah mencegah tindakan genosid di bawah Konvensyen Genosid 1948, 3,523 lagi rakyat Palestin terbunuh oleh serangan Israel di Gaza sejak keputusan 26 Januari, menjadikan jumlah kematian hampir 30,000 orang kebanyakannya wanita dan kanak-kanak sejak 7 Oktober lalu.

Tel Aviv, yang menafikan tuduhan genosid dalam kes yang difailkan Afrika Selatan akhir tahun lalu, dikehendaki melaporkan kepada ICJ mengenai semua langkah yang diambilnya untuk melaksanakan keputusan mahkamah.

Namun, Israel terus menyasarkan hospital dan sekolah di mana penduduk Palestin berlindung di Gaza, serta infrastruktur awam, dan meningkatkan serangannya walaupun berdepan perintah mahkamah.

Dalam tempoh sebulan sejak mahkamah mengeluarkan langkah sementara, serangan Israel membunuh lebih 100 rakyat Palestin di Gaza setiap hari, berjumlah 1,660 kanak-kanak dan 1,070 wanita. Di samping jumlah kematian, ribuan tidak dapat dikesan dikhuatiri maut di bawah runtuhan.

Mahkamah juga mengarahkan Israel mengambil langkah memperbaiki keadaan kemanusiaan di kawasan Palestin yang terkepung, tetapi Agensi Bantuan dan Kerja untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) melaporkan pada 14 Februari bahawa bilangan trak bantuan yang memasuki Gaza jatuh jauh di bawah paras sasaran harian 500 trak.

Memetik laporan Agensi Anadolu, halangan besar terus menyekat kemasukan bahan kemanusiaan melalui pintu Kerem Shalom dan Rafah di Gaza.

Sebelum Israel melancarkan serangan dan meningkatkan sekatannya ke atas Gaza, wilayah itu menerima 500-600 trak setiap hari, menurut Pejabat PBB untuk Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA). Tetapi pada bulan ini, kemasukan trak harian jatuh kepada kurang daripada 10 pada beberapa hari.

Pada 9 Februari lalu, hanya tujuh trak dilaporkan memasuki Gaza, manakala sembilan pada 12 Februari, empat pada 17 Februari, dan sembilan lagi pada 19 Februari.

Kekurangan keperluan asas diburukkan lagi dengan fakta bahawa lebih dua juta orang kehilangan tempat tinggal di Gaza akibat serangan Israel.

Bagaimanapun tiada jaminan bantuan akan sampai kepada rakyat Palestin yang memerlukan walaupun ia berjaya masuk ke Gaza.

UNRWA mengumumkan pada 7 Februari bahawa beberapa traknya yang membawa bantuan makanan ke Gaza telah dibom.

Afrika Selatan memfailkan kes ICJ terhadap Israel pada 29 Disember, menegaskan Israel melanggar Konvensyen PBB mengenai Pencegahan dan Hukuman Jenayah Genosid 1948.

Afrika Selatan meminta mahkamah dunia mengeluarkan langkah-langkah sementara berikutan keadaan mendesak di Gaza, dengan perbicaraan mengenai tuntutan itu diadakan pada 11 dan 12 Januari di Istana Keamanan di The Hague.

ICJ mengarahkan Israel mengambil semua langkah yang perlu untuk mencegah tindakan yang ditakrifkan dalam Perkara 2 Konvensyen Genosid, untuk mencegah, menghalang, dan menghukum mereka yang menggalakkan genosid terhadap rakyat Palestin di Gaza, untuk menghapuskan keadaan hidup yang buruk dengan menyediakan perkhidmatan penting dan bantuan kemanusiaan, dan untuk mengambil langkah yang berkesan untuk mencegah pemusnahan bukti yang menunjukkan pelanggaran Konvensyen Genosid terhadap rakyat Palestin.

ICJ juga mengarahkan Israel menyerahkan laporan mengenai semua langkah yang telah diambilnya dalam tempoh satu bulan dari tarikh keputusan itu.

Israel melancarkan serangan maut di Gaza sejak serangan 7 Oktober oleh kumpulan Palestin Hamas, membunuh lebih 29,690 orang dan menyebabkan kemusnahan besar-besaran dan kekurangan barang keperluan, manakala hampir 1,200 warga Israel dipercayai terbunuh.

Peperangan Israel ke atas Gaza mendorong 85 peratus penduduk wilayah itu ke dalam perpindahan dalaman di tengah-tengah kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan yang teruk, manakala 60 peratus daripada infrastruktur wilayah terkepung itu rosak atau musnah, menurut PBB.

Berita Harian X