Sabtu, 24 Februari 2024 | 4:07pm
(Gambar fail - hiasan) Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague - ANP/AFP/Netherlands OUT
(Gambar fail - hiasan) Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague - ANP/AFP/Netherlands OUT

Penempatan haram Israel di Palestin ancam keamanan - Maghribi

THE HAGUE: Maghribi menegaskan penempatan haram Israel di wilayah Palestin yang diduduki, termasuk di Baitulmaqdis Timur, menjadi penghalang kepada keamanan dan mengancam usaha penyelesaian dua negara.

Duta Maghribi ke The Hague, Belanda, berkata demikian ketika membentangkan kenyataan lisan negara itu pada sesi pendengaran awam di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), semalam, mengenai kesan perundangan yang timbul akibat dasar dan amalan Israel di wilayah Palestin, termasuk Baitulmaqdis Timur.

Penyelesaian konflik Israel-Palestin selama beberapa dekad melalui rundingan serta dialog berdasarkan undang-undang antarabangsa, kekal menjadi asas kepada keamanan dan kestabilan berkekalan di Asia Barat, lapor Agensi Berita Maghribi (MAP).

Maghribi turut mengulangi komitmennya terhadap penekanan bahawa undang-undang antarabangsa perlu dihormati, dan menggalakkan keamanan di Asia Barat.

Ia demi mencapai penyelesaian berkekalan berdasarkan prinsip dua negara, iaitu sebuah negara Palestin merdeka berdasarkan sempadan 4 Jun 1967, dengan Timur Al-Quds (Baitulmaqdis) sebagai ibu negara.

"Penyelesaian konflik Israel-Palestin melalui dialog serta rundingan, selaras rangka kerja rundingan PBB khususnya Resolusi Majlis Keselamatan 242 dan 338, kekal sebagai asas bagi keamanan serta kestabilan yang berkekalan di Asia Barat," katanya.

Lebih 50 negara dan organisasi antarabangsa mengambil bahagian dalam pendengaran awam di ICJ dari 19 hingga 26 Februari ini. – BERNAMA-MAP

Berita Harian X