Khamis, 22 Februari 2024 | 8:01pm
Pasukan penyelamat bekerja di tapak bangunan kediaman yang rosak teruk susulan serangan peluru berpandu Russia, di tengah-tengah serangan Russia ke atas Ukraine, di Kharkiv, Ukraine pada 23 Januari 2024. - Foto fail REUTERS
Pasukan penyelamat bekerja di tapak bangunan kediaman yang rosak teruk susulan serangan peluru berpandu Russia, di tengah-tengah serangan Russia ke atas Ukraine, di Kharkiv, Ukraine pada 23 Januari 2024. - Foto fail REUTERS

14 juta rakyat Ukraine lari tinggalkan rumah sejak pencerobohan Russia - PBB

GENEVA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini memaklumkan lebih 14 juta penduduk Ukraine meninggalkan kediaman mereka dalam tempoh dua tahun sejak pencerobohan Russia dengan hampir 6.5 juta kini berada di luar negara sebagai pelarian.

Menjelang ulang tahun kedua pencerobohan berskala penuh Sabtu ini, Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM) PBB, berkata sebagai tambahan kepada pelarian di luar negara, kira-kira 3.7 juta orang masih kehilangan tempat tinggal di dalam Ukraine.

Lebih 4.5 juta orang kembali ke tanah air setakat ini, sama ada dari luar negara atau perpindahan dalam negara.

Secara keseluruhan, lebih 14 juta orang atau hampir satu pertiga daripada jumlah penduduk Ukraine terpaksa meninggalkan rumah mereka ketika perang.

"Kemusnahan berleluasa, kehilangan nyawa dan penderitaan berterusan," kata Ketua Pengarah IOM, Amy Pope dalam satu kenyataan.

"Namun IOM memuji kerajaan Ukraine dan rakyatnya atas kekuatan dan daya tahan mereka, serta jiran Ukraine yang tidak menolak mereka yang mencari perlindungan.

"Kami akan sepenuhnya komited untuk mengurangkan penderitaan manusia dan membantu pemulihan," katanya.

Agensi PBB itu berkata, pihaknya sudah membantu 6.5 juta orang di Ukraine dan 11 negara di Eropah timur yang menempatkan pelarian.

"Meskipun perang memasuki fasa berlarutan, keperluan terus berkembang dan mengatasi sumber yang ada," kata agensi itu.

Katanya, dalam dua tahun pertama konflik, IOM memperoleh sumbangan sebanyak AS$957 juta (RM4.57 bilion).

"Kami mengharapkan peningkatan sokongan daripada penderma dan rakan kongsi tempatan untuk menghadapi cabaran yang menanti dalam menyediakan kehidupan lebih baik untuk rakyat Ukraine," katanya dalam kenyataan.

Pencerobohan Russia adalah yang terbesar di negara Eropah sejak Perang Dunia II dan mencetuskan krisis pelarian terbesar yang pernah dihadapi oleh benua itu sejak konflik 1939 hingga 1945.

Secara keseluruhan PBB memaklumkan pihaknya tahun ini memerlukan AS$4.2 bilion (RM20.06 bilion) untuk menyediakan bantuan kemanusiaan di Ukraine dan kepada pelarian yang melarikan diri tetapi bimbang kemungkinan mengalami kekurangan berikutan perang Gaza lebih mendominasi perhatian global.

Daripada mereka yang melarikan diri dan kini sudah kembali ke negaranya, 'ramai daripadanya menghadapi cabaran berpanjangan termasuk rasa tidak selamat, kehilangan mata pencarian, perumahan dan infrastruktur yang rosak dan terjejas perkhidmatan, kata Pengarah Jabatan Tindak Balas dan Pemulihan Kemanusiaan IOM, Soda Federico.

"Kita wajar memberi tumpuan kepada pemulihan ekonomi," " katanya dalam laporan agensi itu mengenai dua tahun pertama perang.

Berita Harian X