Selasa, 20 Februari 2024 | 8:45am
Kanak-kanak Palestin yang dipindahkan berkumpul untuk menerima makanan di sebuah sekolah kerajaan di Rafah di selatan Semenanjung Gaza pada 19 Februari 2024. - Foto AFP
Kanak-kanak Palestin yang dipindahkan berkumpul untuk menerima makanan di sebuah sekolah kerajaan di Rafah di selatan Semenanjung Gaza pada 19 Februari 2024. - Foto AFP

PBB beri amaran kematian kanak-kanak Gaza ibarat bom jangka

GENEVA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran senario kekurangan makanan dan zat yang membimbangkan selain penyakit berjangkit umpama bom jangka dalam kematian kanak-kanak di Gaza.

Timbalan Ketua Tindakan Kemanusiaan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), Ted Chaiban, berkata sepanjang tempoh dua puluh minggu perang Israel-Palestin di Semenanjung Gaza, bekalan makanan sangat terhad menyebabkan hampir semua kanak-kanak kecil dilanda penyakit berjangkit.

"Semenanjung Gaza bersedia untuk menyaksikan bom jangka dalam kematian kanak-kanak yang sepatutnya boleh dicegah namun ia dilihat menambahkan lagi senarai jumlah sedia ada," katanya.

Pada masa sama Chaiban berkata, berdasarkan penilaian UNICEF sekurang-kurangnya 90 peratus kanak-kanak di bawah usia lima tahun di Gaza terjejas disebabkan beberapa penyakit berjangkit.

Katanya, sebanyak 70 peratus kanak-kanak pula mengalami cirit-birit, sekali gus menyaksikan peningkatan 23 kali ganda berbanding tahun lalu.

"Penilaian PBB menunjukkan lebih 15 peratus kanak-kanak atau satu daripada enam mereka yang berusia di bawah dua tahun di utara Gaza mengalami kekurangan zat makanan yang teruk manakala tiga peratus mengalami insiden mengancam nyawa.

"Keadaan dikhuatiri mungkin lebih teruk hari ini," katanya.

Chaiban berkata, berdasarkan penilaian itu, lima peratus kanak-kanak di bawah usia dua tahun mengalami kekurangan zat makanan yang teruk di selatan Gaza.

"Sebelum perang, hanya 0.8 peratus kanak-kanak berusia di bawah lima tahun di Gaza dianggap mengalami kekurangan zat makanan.

"Penurunan status pemakanan penduduk dalam tempoh tiga bulan tidak pernah berlaku sebelum ini di seluruh dunia," katanya.

Sementara itu, Pengarah Kecemasan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Mike Ryan, berkata kelaparan dan penyakit adalah gabungan resipi yang membawa kepada maut.

"Kanak-kanak yang lapar, lemah dan trauma lebih cenderung untuk sakit, dan apabila itu berlaku terutamanya cirit-birit, mereka tidak dapat menyerap nutrien dengan baik.

"Ia berbahaya, tragis, dan malangnya ia berlaku di hadapan mata kita," katanya melalui kenyataan.

Berdasarkan maklumat rasmi daripada Israel, serangan pejuang Hamas pada 7 Oktober lalu ke atas Israel selatan mengakibatkan kematian kira-kira 1,160 orang.

Namun menurut Kementerian Kesihatan kendalian Hamas, serangan Israel ke atas Gaza pula membunuh lebih 29,000 orang, dengan kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Sejak bermulanya perang, Gaza 'terperangkap' ke dalam krisis pemakanan, malah lebih buruk apabila bantuan luar yang diterima mereka sangat terhad.

Berita Harian X