Ahad, 18 Februari 2024 | 2:43pm
Pemberontak Houthi mengiringi sebuah kapal dagang di Laut Merah. - Foto REUTERS
Pemberontak Houthi mengiringi sebuah kapal dagang di Laut Merah. - Foto REUTERS

Houthi lancar peluru berpandu sasar kapal dagang Denmark

MOSCOW: Kumpulan Houthi yang berpangkalan di Yaman melancarkan empat peluru berpandu anti-kapal dengan sekurang-kurangnya tiga daripada peluru itu menyasarkan kapal dagang Denmark MT Pollux di Laut Merah, lapor Sputnik.

Dalam satu kenyataan semalam, Markas Pemerintah Pusat AS (CENTCOM) berkata serangan itu tidak menyebabkan kecederaan atau kerosakan pada kapal dan kru kapal MT Pollux atau kapal lain di perairan berkenaan.

Menurut kenyataan itu, tentera AS pada masa yang sama melancarkan serangan untuk mempertahankan diri daripada satu peluru berpandu jelajah anti-kapal dan satu kenderaan permukaan tanpa pemandu (USV) di perairan Yaman.

CENTCOM mendapati peluru berpandu dan USV itu memberikan ancaman kepada kapal-kapal Tentera Laut AS dan kapal dagang di rantau itu.

Houthi, yang menguasai sebahagian besar pantai Laut Merah di Yaman, sebelum ini mengancam untuk menyerang mana-mana kapal yang dikaitkan dengan Israel.

Kumpulan itu sebelum ini mendakwa tindakan mereka di Laut Merah bertujuan membantu rakyat Palestin di Semenanjung Gaza, dengan menyatakan bahawa mereka tidak mengganggu kebebasan pelayaran di rantau berkenaan. - BERNAMA-SPUTNIK

Berita Harian X