Ahad, 18 Februari 2024 | 1:06pm
Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda. - Foto REUTERS
Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda. - Foto REUTERS

ICJ bicara kesan akibat pendudukan Israel sejak 1967

THE HAGUE: Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) akan mengadakan perbicaraan berhubung kesan undang-undang ke atas pendudukan haram Israel di wilayah Palestin sejak 1967, bermula esok.

Menurut mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa bersatu (PBB), sebanyak 52 negara dijangka memberikan keterangan buat pertama kalinya dalam sejarah.

Antaranya termasuk Amerika Syarikat (AS), Russia dan China dalam sesi selama seminggu di hadapan hakim di Istana Keamanan di The Hague, Belanda.

Pada Disember 2022, Perhimpunan Agung PBB meminta ICJ memberikan pendapat yang tidak mengikat mengenai kesan undang-undang yang timbul daripada dasar dan amalan Israel di wilayah Palestin termasuk Baitulmaqdis Timur.

Walaupun sebarang pendapat ICJ tidak mengikat, ia dilakukan tengah-tengah tekanan undang-undang antarabangsa yang semakin meningkat ke atas Israel.

Perbicaraan itu berasingan daripada kes berprofil tinggi yang dibawa oleh Afrika Selatan mendakwa Israel melakukan tindakan pembunuhan beramai-ramai ketika menyerang Gaza, baru-baru ini.

Januari lalu, ICJ memutuskan bahawa Israel mesti melakukan segala-galanya untuk mencegah pembunuhan beramai-ramai dan membenarkan bantuan kemanusiaan masuk ke Gaza, tetapi tidak mengarahkan gencatan senjata.

Jumaat lalu, ia menolak permohonan Afrika Selatan untuk mengenakan langkah tambahan ke atas Israel, namun mengulangi keperluan untuk melaksanakan keputusan awal ICJ secara menyeluruh.

Perhimpunan Agung PBB meminta ICJ untuk mempertimbangkan dua persoalan.

Pertama, mahkamah harus meneliti kesan undang-undang yang disebut PBB sebagai 'pelanggaran berterusan oleh Israel terhadap hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri'.

Ini berkaitan dengan pendudukan berpanjangan, penempatan dan pengilhakan wilayah Palestin yang diduduki sejak 1967 dan langkah-langkah yang bertujuan untuk mengubah komposisi demografi, watak dan status Kota Suci Baitulmaqdis.

ICJ juga diminta untuk melihat kesan daripada apa yang disifatkannya sebagai penggunaan undang-undang dan langkah-langkah diskriminasi berkaitan Israel.

Kedua, ICJ harus menasihati bagaimana tindakan Israel mempengaruhi status undang-undang pendudukan dan apakah akibatnya kepada PBB dan negara lain.

Mahkamah akan memutuskan perkara itu dengan segera, mungkin menjelang akhir tahun ini.

Penghakiman ICJ dalam pertikaian adalah mengikat walaupun tidak banyak cara untuk menguatkuasakannya.

Bagaimanapun, dalam kes kali ini, pendapat yang dikeluarkan tidak akan mengikat.

Human Rights Watch (HRW) berkata walaupun pendapat itu tidak mengikat, ia boleh membawa kuasa moral dan undang-undang yang hebat sehingga akhirnya termaktub dalam undang-undang antarabangsa.

Penasihat kanan undang-undang HRW, Clive Baldwin berkata, perbicaraan itu harus mendedahkan penderaan serius yang dilakukan pihak berkuasa Israel terhadap rakyat Palestin, termasuk jenayah 'apartheid' dan penganiayaan terhadap kemanusiaan. - AFP

Berita Harian X