Sabtu, 17 Februari 2024 | 11:00pm
Ibu Pejabat Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) yang rosak di Kota Gaza, kelmarin. - Foto AFP
Ibu Pejabat Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) yang rosak di Kota Gaza, kelmarin. - Foto AFP

Israel berkempen mahu musnahkan UNRWA

GENEVA: Israel kini melancarkan kempen bersepadu bertujuan memusnahkan Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA).

Perkara itu disahkan Ketua Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkenaan, Philippe Lazzarini, dalam wawancara yang diterbitkan, hari ini.

Lazzarini berkata, gesaan untuk beliau meletakkan jawatan adalah sebahagian daripada desakan kerajaan Israel.

Katanya, di sebalik gesaan Israel itu, tersembunyi satu matlamat politik yang lebih besar kerana jika UNRWA dimansuhkan, status penduduk Palestin akan diputuskan untuk kali terakhirnya.

"Sekarang kita sedang berhadapan dengan kempen meluas Israel yang bertujuan untuk memusnahkan UNRWA.

"Ia adalah matlamat politik jangka panjang dan lihat sahaja tindakan Israel terhadap UNRWA," katanya kepada akhbar Switzerland Tamedia.

Lazzarini turut menyebut mengenai tindakan Israel di Parlimen untuk menghapuskan pengecualian cukai nilai tambah (VAT) agensi itu dan perintah untuk kontraktor di pelabuhan Ashdod Israel berhenti mengendalikan penghantaran makanan tertentu untuk UNRWA.

"Semua tuntutan ini datangnya dari kerajaan," katanya.

Lazzarini berkata, malah lebih daripada 150 kemudahan UNRWA terjejas sejak perang Gaza bermula.

Israel menggesa Lazzarini berundur berikutan dakwaan bahawa terowong Hamas ditemui di bawah ibu pejabatnya di Kota Gaza.

Mengulas mengenai dakwaan Israel itu, Lazzarini berkata terowong itu berada 20 meter di bawah tanah dan UNRWA tidak mempunyai keupayaan untuk meneliti sebarang struktur di lokasi terbabit.

Katanya, Israel hanya bertindak sendirian dalam gesaan supaya dirinya berhenti, justeru cukup jelas bahawa beliau tidak perlu mematuhi permintaan terbabit.

"Malah peletakan jawatan saya tidak akan memperbaiki keadaan di UNRWA.

"Kritikan itu tidak membimbangkan saya secara peribadi, tetapi ia adalah mengenai organisasi secara keseluruhannya.

"Gesaan untuk meletakkan jawatan adalah sebahagian daripada kempen untuk memusnahkan UNRWA," katanya. - AFP

Berita Harian X