Sabtu, 17 Februari 2024 | 8:31pm
Polis menahan seorang wanita ketika perhimpunan untuk mengenang pemimpin pembangkang Russia Alexei Navalny berhampiran monumen Tembok Kesedihan kepada mangsa penindasan politik di Moscow, Russia, hari ini. -REUTERS
Polis menahan seorang wanita ketika perhimpunan untuk mengenang pemimpin pembangkang Russia Alexei Navalny berhampiran monumen Tembok Kesedihan kepada mangsa penindasan politik di Moscow, Russia, hari ini. -REUTERS

Lebih 100 ditahan ketika lakukan upacara peringatan Navalny

MOSCOW: Polis Russia menahan lebih 100 individu yang berkumpul di upacara peringatan kematian ketua pembangkang Alexei Navalny, semalam.

Rakaman di media sosial menunjukkan orang ramai dilihat berkumpul untuk meletakkan bunga di monumen di seluruh negara sebelum sebilangan mereka ditahan polis.

Menurut kumpulan hak asasi OVD-Info, seramai 101 orang ditahan di 10 bandar termasuk 64 di bandar kedua terbesar di Russia di Saint Petersburg, sehingga hari ini.

"Seramai 11 orang ditahan di ibu negara Moscow, namun ramai lagi menerima nasib sama di bandar Nizhny Novgorod, Krasnodar, Rostov-on-Don dan Tver," katanya.

Navalny, 47, yang sebelum ini lantang mengkritik Kremlin, disahkan meninggal dunia ketika menjalani hukuman penjara selama 19 tahun di Artik.

Tindakan protes adalah suatu kesalahan di Russia mengikut undang-undang anti-penentang yang ketat.

Malah, pihak berkuasa juga menyekat sebarang perhimpunan menyokong Navalny.

Menurut pihak berkuasa di ibu negara Russia hari ini, mereka menyedari gesaan secara dalam talian untuk orang ramai turun berhimpun secara besar-besaran Moscow, sebelum memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak berbuat demikian. -AFP

Berita Harian X