Sabtu, 17 Februari 2024 | 4:10pm
Milan, Itali.
Milan, Itali.

Itali kini negara paling selamat di Eropah

ROME: Itali kini dinobatkan sebagai sebuah negara paling selamat di Eropah, dengan kadar jenayah pembunuhan direkodkan lebih rendah berbanding negara jiran.

Peguam jenayah, Gianluca Arrighi, berkata walaupun Itali sebelum ini terkenal dengan negara mafia, kini hanya 10 peratus daripada kes pembunuhan setiap tahun dilaporkan disebabkan jenayah terancang.

Beliau berkata, kumpulan mafia seperti Mafia-Camorra, Ndrangheta, Cosa Nostra dikesan mengubah cara mereka beroperasi secara radikal.

"Kini mereka lebih tertumpu dalam perniagaan dan ekonomi dengan pembelian hartanah atau menubuhkan syarikat," katanya.

Sementara itu, pakar sosiologi di Universiti Bologna, Raffaella Sette, berkata pembunuhan di Itali secara umumnya sudah berkurangan dalam 25 tahun terakhir ini.

Berdasarkan laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), terdapat 34 pembunuhan bagi setiap sejuta penduduk di Itali, berbanding dengan 24 di Perancis pada 1990.

Sementara pada tahun 2021 hingga 2022, ia merosot kepada 5.5 kes bagi setiap sejuta penduduk di Itali, 11 di Perancis, Jerman (lapan) dan United Kingdom (10).

Di Eropah, hanya Norway dan Switzerland mempunyai kadar pembunuhan yang lebih rendah atau sama dengan Itali, manakala Latvia, mempunyai kadar 6.5 kali lebih tinggi berbanding semua negara berkenaan.

Dari pertengahan abad ke-19 hingga tahun 1990-an, ribuan orang mati dalam keganasan mafia di Itali dengan cara yang kejam.

Antara mangsa sasaran mafia adalah hakim, paderi, dan saksi yang dibunuh kerana berani menentang mereka.

Itali turut merekodkan tahun trauma pada akhir tahun 1960-an hingga tahun 1980-an, di mana kumpulan bersenjata ekstrem bertindak ganas termasuk terbabit dalam pengeboman dan pembunuhan.

Pada 1978, Itali turut mencatatkan sejarah hitam apabila bekas Perdana Menterinya, Aldo Moro dibunuh kejam oleh Marxist-Leninist.

Selain itu, terdapat kira-kira 400 mangsa dalam tempoh itu turut dibunuh oleh neo-fasis.

Namun kadar pembunuhan dilaporkan menurun apabila kumpulan mafia ini berdepan tindakan keras sehingga mengalihkan modus operandi mereka ke arah jenayah kewangan. -AFP

Berita Harian X