Sabtu, 17 Februari 2024 | 2:01pm
Imej aktivis pembangkang Russia, Alexei Navalny, dipaparkan pada dinding Kedutaan Russia di London oleh kumpulan aktivis, Led By Donkeys. - Foto REUTERS
Imej aktivis pembangkang Russia, Alexei Navalny, dipaparkan pada dinding Kedutaan Russia di London oleh kumpulan aktivis, Led By Donkeys. - Foto REUTERS

Ratusan berhimpun di seluruh Eropah ratapi kematian Navalny

BERLIN: Ratusan penunjuk perasaan berkumpul di bandar-bandar serata Eropah untuk menyuarakan kemarahan mereka terhadap kematian pengkritik Kremlin, Alexei Navalny.

Mereka juga melaungkan slogan mengkritik Presiden Russia, Vladimir Putin, yang terus dipersalahkan atas kematian aktivis paling lantang di Russia itu.

Di Berlin, sekumpulan 500 hingga 600 peserta, menurut anggaran polis, berkumpul di hadapan kedutaan Russia di persiaran Unter den Linden sambil bersorak 'Putin adalah pembunuh', yang dibuat dalam campuran bahasa Russia, Jerman dan Inggeris.

Ada juga yang melaungkan 'Putin to the Hague', merujuk kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang menyiasat kemungkinan wujud jenayah perang dilakukannya di Ukraine.

Polis menggunakan penghadang untuk menutup jalan antara bangunan kedutaan dan tempat peserta berhimpun.

"Alexei Navalny adalah ketua pembangkang Russia dan kami sentiasa menaruh harapan kepadanya," kata seorang lelaki Russia yang memakai bendera anti-perang berwarna biru-putih.

Hanya memberi namanya sebagai Ilia, menjelaskan dia berhijrah ke Jerman bersama isterinya Nika dua tahun lalu.

"Saya tidak fikir kami akan kembali ke Russia, mungkin dalam 10 tahun, kerana ia adalah keadaan yang sangat rumit," kata Nika.

Peringatan sementara bagi aktivis pembangkang Russia, Alexei Navalny, diletakkan di luar Kedutaan Russia di London. - Foto REUTERS
Peringatan sementara bagi aktivis pembangkang Russia, Alexei Navalny, diletakkan di luar Kedutaan Russia di London. - Foto REUTERS

Di Paris, kira-kira 100 penunjuk perasaan berkumpul berdekatan kedutaan Russia, dengan ramai yang hadir memegang papan tanda bertulis 'Putin pembunuh'.

"Sukar untuk saya meluahkan emosi saya, kerana saya benar-benar marah. Navalny, seumpama harapan bagi kami dan kini kami tidak lagi mempunyai harapan untuk Russia yang lebih baik pada masa depan.

"Kini, kami tidak lagi mempunyai harapan, harapan ini sudah dibunuh oleh Putin, seperti harapan semua yang lain," kata seorang peserta, Natalia Morozov.

Kira-kira 30 peserta turut berkumpul berhampiran kedutaan Russia di Rom, Itali termasuk ahli politik dari parti berhaluan sederhana dan pro-EU (Kesatuan Eropah), sambil memegang sepanduk tertera mesej, antaranya 'pembunuhan negara' dan 'Navalny dibunuh, Putin penjenayah'.

Di Belanda, ratusan orang berkumpul di pusat Dam Square Amsterdam, membawa papan tanda bertulis 'Putin adalah pembunuh', sementara di The Hague, lebih seratus orang berkumpul di luar kedutaan Russia.

Polis menahan seorang wanita ketika perhimpunan untuk mengenang pemimpin pembangkang Russia Alexei Navalny berhampiran monumen Tembok Kesedihan kepada mangsa penindasan politik di Moscow, Russia, hari ini. -REUTERS
Polis menahan seorang wanita ketika perhimpunan untuk mengenang pemimpin pembangkang Russia Alexei Navalny berhampiran monumen Tembok Kesedihan kepada mangsa penindasan politik di Moscow, Russia, hari ini. -REUTERS

Isteri Navalny, Yulia, berada di Jerman sempena Persidangan Keselamatan Tahunan Munich pada Jumaat di mana perhimpunan bantahan dijangka turut diadakan.

Beliau sebelum ini memberitahu persidangan itu bahawa tidak dapat memastikan punca sebenar kematian suaminya kerana Putin dan kerajaannya didakwa berbohong tanpa henti.

Pemimpin dunia turut mengecam Russia termasuk Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, yang menegaskan Putin bertanggungjawab.

"Kita tidak tahu apa sebenarnya berlaku tetapi apa yang pasti ialah Nalvany menemui ajal kerana perbuatan Putin dan penyokongnya," katanya.

Turut berkongsi sentimen sama ialah, Presiden Perancis, Emmanuel Macron; Canselor Jerman, Olaf Scholz; Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese dan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky.

Orang ramai menyertai majlis memperingati kematian aktivis pembangkang Russia, Alexei Navalny, di hadapan Kedutaan Russia di Munich, jerman. - Foto REUTERS
Orang ramai menyertai majlis memperingati kematian aktivis pembangkang Russia, Alexei Navalny, di hadapan Kedutaan Russia di Munich, jerman. - Foto REUTERS

Menyertai mereka, ialah Perdana Menteri Britain, Rishi Sunak; Perdana Menteri Sweden, Ulf Kristersson dan Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte.

Selain itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres; Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula Von Der Leyen dan Setiausaha Agung Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Jens Stoltenberg, menggesa kematian Navalny disiasat secara telus.

Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov, berkata Putin sudah dimaklumkan mengenai kematian Navalny dan menyifatkan reaksi pemimpin Barat terhadapnya sebagai 'tidak boleh diterima dan gila sama sekali'.

Tambah beliau, Russia sudah menubuhkan Jawatankuasa Siasatan bagi memulakan prosedur menentukan kematian pemimpin pembangkang itu.

Penunjuk perasaan dan mereka yang berkabung berikutan kematian aktivis pembangkang Russia, Alexei Navalny, berkumpul di hadapan Kedutaan Russia di Washington DC, Amerika Syarikat (AS). - Foto AFP
Penunjuk perasaan dan mereka yang berkabung berikutan kematian aktivis pembangkang Russia, Alexei Navalny, berkumpul di hadapan Kedutaan Russia di Washington DC, Amerika Syarikat (AS). - Foto AFP

Navalny, yang juga ketua pembangkang Russia, dilaporkan meninggal dunia di penjara Arkitik pada Jumaat.

Perkhidmatan penjara Russia mengesahkan kematian Navalny yang sedang menjalani hukuman selama 19 tahun.

Navalny, 47, adalah pemimpin pembangkang yang sering melontarkan kritikan terhadap amalan rasuah di bawah pentadbiran Putin.

Pendedahan yang dibuatnya mendapat jutaan tontonan di YouTube dan berjaya menarik puluhan ribu rakyat Russia ke jalanan biarpun terpaksa berdepan undang-undang anti protes yang tegas.

Navalny yang mempunyai ramai pengikut itu dipenjarakan pada awal 2021 selepas kembali ke Russia dari Jerman. - REUTERS.

Berita Harian X